Bahasa : BM | EN

35 Pekerja Filipina Dibawa Pulang Dari Kemboja Susulan Isu Pemerdagangan Manusia Dan Hab Penipuan

01/01/2026 08:28 PM

MANILA, 1 Jan (Bernama-PNA) -- Seramai 35 pekerja warga Filipina di luar negara (OFW) berjaya dibawa pulang dengan selamat dari Kemboja pada Rabu, tepat pada masanya untuk menyambut Tahun Baharu, selepas mendapat bantuan Kerajaan Filipina susulan kes perekrutan haram, pemerdagangan manusia dan operasi hab penipuan.

Agensi Berita Filipina (PNA) melaporkan Jabatan Pekerja Migran (DMW) dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan bahawa 34 daripada mereka dikenal pasti sebagai mangsa pemerdagangan manusia, manakala seorang lagi OFW dihantar pulang selepas selesai menjalani hukuman penjara bagi kesalahan berkaitan pengubahan wang haram.

“Penghantaran pulang dengan selamat ini dicapai menerusi usaha bersepadu Kedutaan Filipina di Phnom Penh dan Pejabat Pekerja Migran (MWO) di Singapura serta Thailand di bawah prinsip pendekatan menyeluruh kerajaan 'Bagong Pilipinas'  Presiden Ferdinand R. Marcos Jr.,” menurut DMW.

Kumpulan itu tiba dalam tiga kelompok di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA) melalui penerbangan transit dan langsung dari Phnom Penh.

Dalam pada itu, DMW mengulangi gesaannya agar rakyat Filipina terus berwaspada terhadap tawaran pekerjaan luar negara yang meragukan, terutamanya yang tular di platform media sosial.

Ia turut menasihatkan pekerja Filipina yang mencari pekerjaan di luar negara agar mengesahkan kesahihan peluang pekerjaan berkenaan dengan memastikan ia diluluskan dan berdaftar dengan DMW sebelum diterima.

-- BERNAMA-PNA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami