JAKARTA, 4 Mei (Bernama) -- Indonesia merancang untuk memperkenalkan duti eksport serta cukai keuntungan luar biasa ke atas arang batu dan nikel sebagai sebahagian usaha mengimbangi peningkatan kos subsidi dalam belanjawan negara.
Menteri Kewangan Purbaya Yudhi Sadewa berkata cadangan itu masih dalam perbincangan dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral.
“Perbincangan masih berjalan dengan kementerian tenaga, namun yang jelas hasil kutipan itu mencukupi untuk membantu menampung jurang subsidi,” katanya seperti dilaporkan Agensi Berita Antara pada Isnin.
Purbaya berkata eksport arang batu dan nikel sebelum ini tidak dikenakan duti eksport, sekali gus mewujudkan ruang kelemahan yang boleh menyebabkan pengisytiharan nilai lebih rendah dan penyeludupan, selain mengehadkan keupayaan pihak kastam untuk memeriksa penghantaran sebelum berlepas.
Pengenalan duti eksport dijangka memberi kuasa lebih besar kepada Direktorat Jenderal Bea dan Cukai (DJBC) untuk memeriksa barangan sebelum dieksport, sekali gus membantu mengekang ketirisan hasil.
Meskipun merancang langkah percukaian tersebut, beliau berkata kerajaan kekal komited untuk menggalakkan pembangunan industri hiliran, khususnya dalam sektor bateri berasaskan nikel.
Insentif turut dipertimbangkan bagi industri yang menggunakan bahan mentah domestik, selaras dengan usaha lebih luas Indonesia untuk memperkukuh pemprosesan nilai tambah, katanya.
Dalam perkembangan lain, Purbaya berkata kerajaan juga mungkin menawarkan insentif cukai termasuk pengecualian kepada pelabur global yang menempatkan aset di zon ekonomi khas kewangan yang dirancang, atau Pusat Kewangan Antarabangsa (IFC) di Bali.
“Jika diminta, saya boleh berikan kadar sifar peratus. Dengan itu, pemberian cukai sifar peratus tidak menjadi masalah selagi dana tersebut masuk ke zon ekonomi khas (KEK) kewangan. Perkara itu juga sepatutnya boleh dikaitkan dengan pengukuhan rizab pertukaran asing negara,” katanya.
Beliau berkata aliran masuk aset global boleh menyokong pasaran bon Indonesia dengan meningkatkan penyertaan pelabur asing dalam sekuriti kerajaan.
“Mereka boleh membeli bon kerajaan. Jika mereka mahukan hasil lebih rendah, saya boleh menyediakan kemudahan, sekali gus membantu meredakan tekanan terhadap bon kami apabila asas pelabur semakin berkembang,” kata beliau.
Purbaya menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah strategik yang boleh direalisasikan dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata Kementerian Kewangan telah diminta mengambil bahagian dalam pembangunan IFC bersama Kementerian Koordinator Bidang Perekonomian serta Badan Pengelola Investasi (BPI) Danantara.
Katanya, rangka kerja perundangan termasuk insentif cukai yang akan dilaksanakan di zon kewangan itu akan sejajar dengan piawaian antarabangsa.
Terdahulu, Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Airlangga Hartarto berkata pembangunan Zon Ekonomi Khas Kura Kura Bali kini dipercepatkan sebagai lokasi berpotensi bagi hab kewangan.
Kerajaan dalam usaha memuktamadkan peraturan bagi zon ekonomi khas kewangan itu bagi menyokong pembangunan pusat kewangan, termasuk rangka kerja tadbir urus dan kemudahan yang mesra pelabur.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah