Bahasa : BM | EN

SHUT, MOMOYO Jalin Kerjasama Tingkat Kesedaran Isu Pemerdagangan Manusia

13/03/2026 10:13 AM

SHAH ALAM, 13 Mac (Bernama) -- Pertubuhan Stop Human Trafficking (SHUT) menjalin kerjasama strategik dengan jenama minuman teh MOMOYO bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu pemerdagangan manusia di Malaysia.

Pengasas dan Presiden SHUT Dini Dalilah Wan Nordin berkata kerjasama itu bukan sahaja melibatkan sumbangan kepada rumah perlindungan mangsa yang dikendalikan mereka, malah turut memfokuskan kepada usaha advokasi melalui rangkaian perniagaan MOMOYO di seluruh negara.

Beliau berkata menerusi kerjasama itu, MOMOYO bersetuju menyiarkan video kesedaran berkaitan pemerdagangan manusia di kira-kira 200 rangkaian perniagaan mereka.

“Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) ini selama setahun dan ia antara kerjasama terbaharu SHUT dengan pemain industri dalam usaha memperluas kesedaran kepada masyarakat,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa with MOMOYO di WFactory di sini semalam.

Dalam pada itu, Dini Dalilah berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan masyarakat setempat, komuniti Program Perumahan Rakyat, pekerja migran dan golongan rentan bagi memperkukuh usaha pencegahan pemerdagangan manusia.

Pengurus Pembangunan Perniagaan MOMOYO Malaysia Alif Iman berkata kerjasama itu sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dalam menyumbang kepada masyarakat.

Beliau berkata sejak diperkenalkan pada 2024, MOMOYO Malaysia bukan sahaja berhasrat membina reputasi sebagai jenama minuman popular tetapi juga memainkan peranan dalam membantu komuniti melalui pelbagai inisiatif kebajikan.

“Kami mahu membawa keceriaan kepada masyarakat dan pada masa sama menyokong usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti SHUT,” katanya. 

Sebagai tanda sokongan kepada isu pemerdagangan manusia, MOMOYO turut menyumbang RM1,888 kepada SHUT bagi meningkatkan kesedaran masyarakat. 

Pada majlis itu, SHUT dan MOMOYO turut menyantuni dan memberikan sumbangan duit raya kepada anak yatim untuk menceriakan golongan kurang bernasib baik. 

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami