Universiti pada hari ini berdepan dengan tuntutan yang semakin kompleks dalam mendidik mahasiswa.
Bukan sahaja perlu melahirkan graduan yang kompeten dari segi akademik, tetapi juga memastikan mereka berkembang secara holistik merangkumi aspek intelektual, sosial, emosi dan profesional.
Dalam konteks globalisasi pendidikan, semakin ramai pelajar antarabangsa memilih untuk memasuki universiti bukan melalui laluan tradisional, tetapi melalui sijil pembelajaran kendiri atau micro-credentials.
Laluan alternatif ini membuka peluang pendidikan lebih luas, namun ia juga menimbulkan cabaran besar dari segi integrasi akademik, sokongan sosial, serta pengiktirafan kredibiliti.
Kajian oleh Coursera pada 2024 menunjukkan micro-credentials semakin diterima oleh industri dan institusi pendidikan tinggi, namun masih wujud kekangan dari segi standard akreditasi.
Cabaran Pelajar Antarabangsa
Bagi pelajar antarabangsa, cabaran ini menjadi lebih rumit kerana mereka bukan sahaja perlu menyesuaikan diri dengan sistem universiti tempatan, tetapi juga berdepan dengan beberapa isu utama.
Pertama ialah cabaran literasi akademik, khususnya dalam penulisan ilmiah.
Kajian Monash University pada 2021 mendapati bahawa ramai pelajar antarabangsa di peringkat pascasiswazah mengalami kesukaran menyesuaikan diri dengan gaya penulisan akademik, analisis kritis, dan penggunaan rujukan.
Hal ini lebih ketara bagi mereka yang datang daripada latar belakang pembelajaran kendiri, di mana penekanan terhadap penulisan akademik mungkin kurang diberikan.
Selain itu, keterbatasan capaian sumber penyelidikan menjadi suatu kekangan.
Tidak semua pelajar antarabangsa mempunyai akses penuh kepada jurnal, pangkalan data, atau bahan akademik ketika belajar secara kendiri sebelum menyertai universiti.
Apabila melangkah ke alam universiti, mereka berdepan jurang besar antara keperluan akademik dengan pengalaman pembelajaran terdahulu.
Ketiga ialah penyeliaan akademik yang terhad.
Hubungan penyelia yang lemah sering kali meningkatkan tekanan, rasa terasing, dan menjejaskan pencapaian.
Kajian oleh penyelidik Hiebler-Ragger pada 2020 menegaskan bahawa kualiti hubungan penyelia mempunyai pengaruh besar terhadap kesejahteraan mental dan keberhasilan akademik pelajar.
Bagi pelajar antarabangsa yang sudah pun berasa asing di persekitaran baharu, kelemahan dalam penyeliaan boleh memperburuk rasa keterasingan.
Tidak ketinggalan, isu isolasi sosial merupakan cabaran yang konsisten dihadapi oleh pelajar antarabangsa.
Mereka bukan sahaja perlu menyesuaikan diri dengan bahasa dan budaya, tetapi juga menghadapi kesukaran untuk membina rangkaian sokongan.
Usaha Menangani Pelbagai Cabaran
Keadaan ini boleh menjejaskan keseimbangan emosi, mengurangkan motivasi, serta menghambat pencapaian holistik.
Bagi mengatasi cabaran ini, universiti perlu memperkukuh kredibiliti bukan sahaja melalui pengiktirafan sijil pembelajaran kendiri, tetapi juga dengan menyediakan sokongan menyeluruh.
Dalam konteks akademik, universiti boleh membangunkan mekanisme pengiktirafan micro-credentials yang lebih jelas, di samping menyediakan program transisi atau “bridging courses” bagi membantu pelajar antarabangsa menyesuaikan diri dengan penulisan akademik, kemahiran penyelidikan, serta keperluan disiplin tertentu.
Kedua, dari aspek penyelidikan, universiti boleh memperluas akses kepada sumber digital melalui kerjasama antara perpustakaan antarabangsa serta memperkenalkan klinik penyelidikan yang memberi bimbingan khusus kepada pelajar antarabangsa pemegang sijil kendiri.
Tidak ketinggalan, dari segi sokongan sosial dan emosi, universiti wajar memantapkan pusat sokongan pelajar antarabangsa yang menyediakan kaunseling, mentor rakan sebaya, serta program integrasi budaya.
Sokongan sebegini terbukti dapat mengurangkan rasa terasing dan meningkatkan keterikatan pelajar kepada komuniti universiti.
Universiti juga perlu memperkasa micro-credentials dengan dunia industri, memastikan pelajar antarabangsa bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian, tetapi turut memiliki kemahiran yang diiktiraf pasaran kerja global.
Memperkasa kredibiliti universiti dalam menyokong pelajar antarabangsa memerlukan pendekatan menyeluruh yang menyeimbangkan aspek akademik, penyelidikan, sosial, dan profesional.
Cabaran yang dihadapi mereka bukan sekadar isu bahasa atau akademik, tetapi melibatkan dimensi emosi, psikologi, dan pengiktirafan sistem.
Melalui pelaksanaan strategi strategik yang berpaksikan kepada pengiktirafan, sokongan akademik, integrasi sosial, dan hubungan industri, universiti bukan sahaja dapat memperkukuh reputasi global, tetapi juga melahirkan mahasiswa yang berkembang secara holistik dan bersedia menghadapi cabaran dunia moden.
Dengan komitmen terhadap pendekatan holistik ini, universiti bukan sekadar menjadi penerima pelajar antarabangsa, tetapi menjadi pemangkin kepada kejayaan global mereka, seterusnya mengukuhkan posisi sendiri sebagai institusi pendidikan bertaraf dunia.
-- BERNAMA
Dr Norsafatul Aznin A. Razak ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah