Bahasa : BM | EN

Tragedi Bot Karam: Teliti Dalam Konteks Menyeluruh, Faktor Pendorong - Saifuddin Nasution

17/11/2025 05:51 PM

KOTA KINABALU, 17 Nov (Bernama) -- Tragedi bot karam membabitkan pelarian etnik Rohingya dari Myanmar di perairan sempadan Malaysia-Thailand, dekat Langkawi baru-baru ini, perlu dilihat dalam konteks ekosistem yang lebih menyeluruh dan bukan semata-mata sebagai isu pencerobohan sempadan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ekosistem itu termasuk mengambil kira faktor pendorong yang menyebabkan pelarian berkenan memilih Malaysia serta pendekatan kerajaan dalam menangani insiden berkenaan.

“Yang datang ini adalah warga Myanmar. Disebabkan faktor pendorong mereka tidak diiktiraf sebagai warganegara, mereka ditempatkan di kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh yang kini didiami hampir 1.2 juta pelarian, dengan 36,000 kelahiran baharu sementara peruntukan dunia untuk kem semakin berkurang.

“Kem pelarian sepatutnya persiapan untuk penempatan negara ketiga tetapi dengan perubahan geopolitik, Amerika Syarikat yang selama ini penerima terbesar kini tidak lagi menerima. Itu faktor (kem tidak kondusif) yang mendorong mereka mencari destinasi baharu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program santai bersama calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api Thonny Chee di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata demikian sebagai mengulas kritikan bahawa tragedi bot berkenaan petanda jelas kawalan sempadan maritim Malaysia masih longgar dan perlu segera diperkuat bagi menghalang aktiviti pencerobohan dan pemerdagangan orang menerusi jalan air.

Insiden bot karam itu setakat ini mengorbankan 29 nyawa sementara 14 lagi ditemukan selamat.

Beliau berkata dalam proses mencari perlindungan, tidak dinafikan kemungkinan berlaku pelanggaran undang-undang seperti penyeludupan manusia atau jenayah terancang, namun perkara itu akan disiasat secara mendalam.

Walaupun Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, kerajaan katanya tidak boleh membiarkan sahaja pelarian yang ditemukan, justeru, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilancarkan.

“Ini bukan isu sempadan negara semata-mata. Langkawi ialah destinasi popular (untuk pelarian). Sejak 2010 hingga 2025, seramai 2,300 orang mendarat, ditahan atau meninggal dunia kita diuruskan.

“Kawasan itu pula di bawah kawalan penuh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Jadi apabila insiden berlaku, kita boleh tugaskan serta-merta. Ini memang tanggungjawab hakiki APMM, Pasukan Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia untuk memastikan keselamatan negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan Polis Diraja Malaysia telah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk risiko banjir akibat peralihan Monsun Timur Laut sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 berlangsung.

Selain itu, beliau berkata proses penamaan calon pada Sabtu lepas yang berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini memberi keyakinan bahawa pihaknya mampu menjaga keselamatan dengan baik. 

“Pesanan saya bersiap sedia menghadapi banjir, tetapi pada masa sama letakkan keyakinan kepada pasukan keselamatan. Pilihan raya ini adalah pesta demokrasi, tidak perlu bimbang atau takut tentang keselamatan, tunaikan hak sebagai rakyat untuk memilih wakil,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 manakala 25 Nov bagi pengundian awal. 

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA 

 

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami