BUKIT MERTAJAM, 25 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menganjurkan Program Pendigitalan Perniagaan 2025 (PPP25) peringkat Pulau Pinang bagi memperkukuh daya saing sektor perniagaan dengan memperkasakan usahawan B40 dan pelajar melalui pemanfaatan teknologi digital.
PPP25 di Pulau Pinang merupakan siri ketiga program anjuran SSM dan berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh, di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata PPP25 Pulau Pinang memberikan pelbagai manfaat kepada lebih 500 peserta terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta usahawan golongan B40 khususnya dari perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau berkata usaha itu selaras dengan inisiatif pendigitalan kerajaan di bawah aspirasi Dasar Pembangunan Ekonomi Inklusif dan Kesejahteraan Rakyat diperkenalkan dalam kerangka Malaysia MADANI, bagi memperluas pemahaman serta pendedahan terhadap peranan transformasi digital dalam meningkatkan produktiviti, kualiti produk, hasil jualan dan pengembangan pasaran.
“Selaras dengan hasrat ini, SSM sentiasa komited dan cakna dalam memainkan peranan membantu dan memudah cara golongan usahawan, khususnya PMKS agar dapat mengaplikasikan teknologi pendigitalan secara efektif serta berkesan dalam operasi perniagaan.
“Melalui program sebegini, SSM berharap pendekatan dilaksanakan bukan sahaja menyumbang kepada pemodenan sektor perniagaan tempatan, malah memberi nilai tambah kepada daya saing negara dalam menghadapi era ekonomi digital global yang semakin mencabar,” katanya semasa berucap merasmikan PPP25 peringkat Pulau Pinang di sini hari ini.
Nor Azimah berkata antara fokus utama PPP25 ialah memberikan pemahaman terhadap aspek penting dunia keusahawanan terutama penggunaan teknologi pemasaran melalui media sosial dan e-dagang yang menjadi nadi utama kejayaan perusahaan moden.
Beliau berkata program itu kesinambungan dan penjenamaan semula program keusahawanan SSM iaitu Program Usahawan Muda dan Program Bimbingan Usahawan yang menyasarkan penyertaan komuniti usahawan dan pelajar pada peringkat akar umbi tanpa mengira latar belakang geografi atau sosioekonomi.
“Saya yakin dan percaya bahawa pendigitalan memainkan peranan penting sebagai pemangkin utama transformasi perniagaan pada masa kini, kerana ia bukan sahaja meningkatkan kecekapan dan mutu operasi, malah membuka peluang akses pasaran lebih luas merentas sempadan geografi dan masa.
“Justeru, SSM sangat prihatin terhadap usahawan tempatan serta golongan pelajar generasi baharu yang memerlukan pendedahan awal kepada teknologi terkini agar mampu bersaing dan berjaya membangunkan ekosistem ekonomi digital yang dinamik serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.
Nor Azimah memaklumkan sehingga 30 Sept, sebanyak 179,748 perniagaan telah berdaftar di bawah inisiatif Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma.
Sementara itu, peserta Diaz Miza Ahmad, 37, berkata mempelajari banyak ilmu baharu sepanjang PPP25 dan menyifatkannya sangat bermanfaat untuk dirinya yang merupakan peniaga dalam talian.
“Saya berniaga dalam bidang percetakan. Kami banyak buat buku, sepanduk dan pelbagai lagi yang diiklan serta dijual menerusi laman sosial seperti TikTok serta Facebook. Alhamdulillah banyak ilmu diajar di sini termasuk yang tidak boleh didapati daripada Internet,” katanya.
Seorang lagi peserta Nur Damishahirah Zahimi,18, yang merupakan pelajar UiTM berkata pelbagai pendedahan mengenai keusahawanan dan strategi pemasaran perniagaan diberikan sepanjang program begitu menarik termasuk ilmu baharu berkaitan global online terutama e-dagang yang tidak diketahuinya.
Antara pengisian PPP25 yang menjadi tumpuan adalah taklimat kepentingan mendaftarkan syarikat secara sah, kesedaran terhadap penipuan kewangan melalui slot Scam Alert, strategi pemasaran digital, serta perkongsian pengalaman usahawan berjaya.
Mengikut statistik SSM, sebanyak 106,252 syarikat telah diperbadankan dan 693,129 perniagaan serta 2,691 Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) didaftarkan sehingga 30 Sept di Pulau Pinang dengan daripada jumlah itu, 48,806 syarikat, 125,482 perniagaan dan 2,335 PLT adalah aktif.
Pada program itu, SSM turut menyampaikan agihan Wakalah Zakat Korporat dan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM137,500 kepada usahawan dan mahasiswa asnaf, institusi keagamaan, pusat kebajikan, sekolah serta akademi di Pulau Pinang.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah