Oleh Nur Syahidayah Mahasan
KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Pengimbasan 100 peratus, penggunaan sistem pemeriksaan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan perisytiharan awal wajib bagi setiap kontena di pelabuhan antara tindakan tegas diambil Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) susulan dua insiden penyeludupan dadah berskala besar berlaku di Pelabuhan Klang pada 2023.
Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata pengimbasan 100 peratus termasuk bagi kontena eksport dilaksanakan sejak 15 Nov 2023 dan sehingga kini Malaysia satu-satunya negara melakukannya berdasarkan semakan Pertubuhan Kastam Sedunia.
“Walaupun tindakan itu mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuk pemain industri dan ahli politik, namun ia adalah perlu demi menjamin integriti dan keselamatan pintu masuk negara,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pada 2023, dua kes penyeludupan dadah terbongkar selepas rampasan 376 kilogram (kg) heroin pada 13 Mac dan 662kg methamphetamine pada 4 Okt oleh Pasukan Sempadan Australia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika di Sabah semalam sekali lagi menyentuh kes berkenaan dan menegaskan susulan kes itu, tindakan agresif diambil Kerajaan MADANI selepas puluhan tahun kartel dan sindiket penyeludupan beroperasi tanpa tindakan tegas.
Anwar dilaporkan berkata sejak kes berkenaan dilaporkan sehingga kini, tindakan agresif yang diambil agensi berkaitan membawa kepada rampasan bernilai RM15.5 bilion serta pendakwaan ke atas beberapa individu.
Anis Rizana berkata langkah penambahbaikan turut diambil dengan menaik taraf peralatan pengimbasan dengan teknologi AI, pandangan dwisudut dan dwitenaga, yang perolehannya diluluskan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.
Beliau berkata gabungan teknologi AI serta kepakaran pegawai JKDM berjaya meningkatkan kecekapan dan integriti proses pelepasan kontena terutama di Pelabuhan Klang.
Menurut Anis Rizana, JKDM kini sekali lagi dalam proses perolehan mesin pengimbas baharu bagi menggantikan empat unit di Pelabuhan Klang, dua di Pulau Pinang dan satu di Johor yang juga telah diluluskan Kementerian Kewangan.
Selain itu, Anis Rizana berkata beberapa pembaharuan lain turut dilaksanakan termasuk perisytiharan awal wajib (Borang Kastam 2) yang mewajibkan pengeksport mengemukakan deklarasi sebelum imbasan dilakukan.
“Selain itu, JKDM juga telah menguatkuasakan penggiliran pegawai yang mengendalikan pengimbas selaras dengan pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menetapkan sekurang-kurangnya 50 peratus penggiliran.
“Sistem Dokumen Sokongan Import Eksport (SDSIE) yang diperkenalkan pada September 2023 juga mengurangkan interaksi fizikal kerana dokumen disimpan secara dalam talian. Sistem itu dinaik taraf kepada Sistem Dokumen Sokongan untuk Import dan Eksport Malaysia (MyCIEDS) pada Januari 2025 dengan keupayaan audit lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut menghantar pegawai mengikuti kursus Pengaturcaraan Neuro-linguistik (NLP) bagi meningkatkan keupayaan mengenal pasti tingkah laku mencurigakan.
Anis Rizana berkata langkah-langkah itu turut meningkatkan kutipan hasil negara yang mencatatkan RM62.47 bilion dari Januari hingga Oktober 2025, berbanding RM53.63 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.
Beliau berkata pengesanan kontena dalam kawasan operasi utama JKDM berada di bawah bidang kuasa jabatan itu, manakala kegiatan haram di luar kawasan tertakluk kepada polis dan pihaknya bekerjasama rapat termasuk bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut Anis Rizana, pemeriksaan mengejut secara berkala turut dilakukan di pelabuhan.
“Sejak menjadi Ketua Pengarah, saya sudah lebih 20 kali membuat pemeriksaan mengejut di Pelabuhan Klang termasuk pada tengah malam atau 3 pagi tanpa uniform. Tujuannya memastikan pegawai peka, patuh arahan dan menjaga integriti. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah