Bahasa : BM | EN

Aset Baharu APMM Tingkat Keupayaan Kawalan Perairan Negara - Saifuddin Nasution

15/11/2025 10:40 AM

Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

PUTRAJAYA, 15 Nov (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bakal menerima pelbagai aset baharu termasuk helikopter, Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) dan Mothership atau kapal induk bagi memperkukuh kawalan keselamatan perairan negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata usaha meningkatkan lagi keupayaan APMM sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan agensi berkenaan sentiasa bersedia menghadapi ancaman seperti penyeludupan senjata serta pencerobohan nelayan asing.

“APMM sangat dekat dengan saya, kerana itu saya berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan keupayaan aset mereka. APMM akan menerima empat helikopter baharu untuk tujuan pemantauan. Selain itu, sebuah OPV sudah siap dan dua lagi sedang dalam proses,“ katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama Bernama yang diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di pejabat beliau di sini baru-baru ini.

Kapal induk baharu buatan Turkiye yang kini dalam pembinaan dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2027 dan perolehan Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) itu, merupakan langkah strategik bagi memperkukuh keupayaan pertahanan dan penguatkuasaan maritim negara.

Dilengkapi spesifikasi canggih, MPMS mampu beroperasi selama 30 hari tanpa henti, selain lengkap dengan aset moden iaitu empat bot pemintas pantas (FIC), dua dron udara tanpa pemandu (UAV) serta mempunyai tapak pendaratan helikopter, fasiliti perubatan dan pusat tahanan.

Kapal berukuran 99 meter panjang yang boleh membawa 70 kru dan 30 penumpang itu akan memberi tumpuan kepada pengawasan di Laut China Selatan khususnya dalam menangani pencerobohan vesel asing, aktiviti penangkapan ikan secara haram serta membanteras jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

Saifuddin Nasution berkata selain itu, APMM juga telah menerima kapal Ex-United States Coast Guard Cutter (USCGC) Steadfast daripada Amerika Syarikat (AS) awal bulan ini.

 Kapal berkenaan yang berukuran panjang 64.16 meter itu, mempunyai kelebaran 10 meter serta berat 1,100 tan dan boleh mengisi kapasiti 12 pegawai serta 63 anggota lain-lain pangkat dalam satu masa dengan kelajuan mencecah sehingga 18 knot. 

“Ia akan meningkatkan keupayaan APMM untuk mengawal hampir 600,000 kilometer persegi (perairan negara). Mereka inilah yang berdepan dengan penyeludupan senjata, dadah, penyeludupan manusia, perikanan tidak sah, nelayan asing menceroboh kawasan kita atau pun kapal asing yang masuk kawasan kita,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata APMM juga turut diperkasa dengan keupayaan empat helikopter baharu kategori super-medium AgustaWestland AW189.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan keperluan memperkukuh perkongsian risikan antara negara ASEAN sebagai langkah memperkasakan keselamatan serantau.

“Kalau Indonesia ada maklumat risikan, mereka akan kongsi dengan kita, kalau kita ada maklumat, kita boleh kongsi dengan Thailand. Thailand pula boleh kongsi dengan Singapura,” katanya. 

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami