Bahasa : BM | EN

Kerajaan Perkukuh Kesiapsiagaan Hadapi Monsun Timur Laut - Fahmi

14/11/2025 05:40 PM

PUTRAJAYA, 14 Nov (Bernama) -- Kerajaan memperkukuh tahap kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula semalam dengan penyelarasan lebih menyeluruh melibatkan semua agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengenal pasti 3,682 kawasan ‘hotspot’ banjir di seluruh negara manakala ATM turut diaktifkan dan bersedia untuk digerakkan di bawah Op Murni. 

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata Jabatan Mineral dan Geosains telah menyenaraikan 254 cerun kritikal selain 1,768 stesen hidrologi, 614 unit siren amaran banjir dan 285 rumah pam turut disiapkan.

“Pam bergerak juga telah ditambah untuk persiapan menghadapi banjir. Sejumlah empangan telah dikenal pasti iaitu sekiranya berlaku limpahan air ataupun air melebihi tahap kritikal, maka tindakan-tindakan intervensi akan diambil untuk menjamin keselamatan, terutama untuk penduduk yang tinggal tidak jauh dari lokasi empangan,” katanya dalam sidang media pascamesyuarat Kabinet, di sini hari ini.

Bagi aspek komunikasi, beliau berkata sejumlah menara telekomunikasi ditambah baik termasuk  beberapa peti ataupun peralatan di aras tanah telah dinaikkan.

“Saya lihat sendiri kerja-kerja yang telah siap untuk kawasan tertentu (di Sabah) yang agak cenderung banjir, yang sentiasa ataupun berkemungkinan dinaiki air. Persiapan ini nampaknya berjalan dengan baik,” katanya.

Fahmi berkata pusat pemindahan sementara (PPS) juga akan dilengkapi Starlink atau WiFi supaya penduduk terjejas dapat menikmati capaian Internet yang baik.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia Ambun Dindang hari ini dilapor berkata MTL yang bermula semalam dijangka berterusan hingga Mac tahun depan.

Beliau berkata monsun yang bergerak dari utara ke selatan itu lazimnya memberikan kesan awal kepada Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula November hingga Disember, sebelum menjangkau Pahang dan Johor pada fasa seterusnya.

-- BERNAMA

 

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami