Bahasa : BM | EN

Insiden Bot Karam: Nelayan Tak Sangka Objek Merah Terapung Di Laut Wanita

11/11/2025 05:35 PM

LANGKAWI, 11 Nov (Bernama) -- Seorang nelayan tidak menyangka objek berwarna merah yang dilihat terapung di tengah laut adalah seorang wanita di percayai mangsa bot karam di perairan pulau ini pada Sabtu lepas.

Muhd Azham Azmi, 34, berkata ketika itu dia dan dua rakannya di atas bot nelayan sedang memasang pukat di kawasan itu sebelum ternampak objek seperti kelibat manusia tersebut lalu mendekatinya.

“Masa itu kami sedang melabuhkan pukat pada kira-kira 6.50 petang dan kami dapati objek itu adalah seorang wanita berbaju merah sedang berpaut pada kepingan papan, tidak bergerak dan sedang hanyut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Nelayan dari Kampung Sungai Menghulu di sini itu berkata dia dan rakannya kemudian menarik mangsa yang berusia linkungan 40-an ke atas bot dan memberikan selimut serta makanan

Muhd Azham berkata wanita itu yang dipercayai dari etnik Rohingya berdasarkan rupa, dilihat sangat lemah dan hanya makan sedikit makanan yang diberikan.

Dia berkata lokasi penemuan wanita itu dianggarkan sekitar dua batu nautika sahaja dari daratan Langkawi dan dipercayai sudah terapung untuk tempoh yang agak lama di laut.

“Ketika ditemui dia bersendirian dan tiada barangan lain ditemui bersamanya manakala keadaan cuaca ketika itu juga agak baik, tiada ribut cuma keadaan laut agak beralun,” katanya yang bertindak menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan tiba di lokasi tersebut kira-kira 30 minit kemudian.

Sementara itu, APMM memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) mangsa bot karam di perairan Langkawi diteruskan untuk hari ketiga hari ini bermula 7.30 pagi dengan radius pencarian diperluaskan kepada 272.78 batu nautika persegi.

Sebanyak 12 mayat telah ditemui sejak Sabtu lepas di perairan Langkawi manakala 13 lagi mangsa ditemukan selamat.

Sementara pihak berkuasa Thailand yang turut melakukan operasi carilamat di perairan negara itu setakat ini menemukan sembilan mayat.

Operasi itu dilancarkan susulan insiden sebuah daripada tiga bot yang dipercayai membawa kira-kira 300 imigran karam berhampiran Pulau Tarutao, di perairan sebelum sempadan Thailand-Malaysia.

--BERNAMA

 

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami