LANGKAWI, 15 Nov (Bernama) -- Polis mengesahkan tiada penemuan berhubung insiden bot karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand setakat semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Khairul Azhar Nuruddin berkata setakat ini jumlah mangsa yang ditemukan maut kekal 28 orang manakala 14 lagi selamat, dan percaya tiada mangsa yang hidup terlepas ke daratan.
“Setakat semalam, tiada maklumat daripada orang awam berhubung sebarang penemuan mangsa sama ada hidup atau meninggal dunia.
“Kita juga tidak menerima sebarang maklumat berkenaan pendaratan pendatang tanpa izin di mana-mana lokasi dalam sektor pencarian kita,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Khairul Azhar berkata pihaknya turut melakukan pemantauan di pulau-pulau berdekatan dan tidak menemukan sebarang petunjuk mengenai keberadaan migran di situ.
“Kita juga tidak mengesan kedudukan sebuah lagi bot yang dikatakan membawa 230 migran lain,” katanya.
Sementara itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) mangsa insiden itu diteruskan hari ini bermula 7.30 pagi dengan sektor pencarian dikecilkan kepada 33.86 batu nautika persegi.
Operasi pada hari ketujuh itu hanya melibatkan empat aset, iaitu APMM, Polis Marin dan Tentera Laut Diraja Malaysia.
“Ia bagi mengoptimumkan penggunaan sumber. Aset lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta agensi sokongan berada dalam mod bersedia,” katanya.
Menurut APMM, keluasan keseluruhan sektor pencarian sepanjang enam hari operasi sebelum ini ialah 1,355.13 batu nautika persegi.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah