KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor mengesan taktik sindiket menyamar pegawai imigresen bagi menipu majikan dengan menawarkan pelepasan pekerja warga asing mereka yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan.
Pengarah JIM Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata sindiket yang berperanan sebagai ‘orang tengah’ itu mengambil kesempatan setiap kali operasi dijalankan untuk memperdaya majikan.
“Setiap kali kita buat operasi, akan ada scammer atau pihak berkepentingan yang menyalahgunakan nama imigresen dengan membuat panggilan kepada majikan dan mengaku pegawai imigresen Selangor.
“Sindiket ini akan meminta bayaran melalui aplikasi Touch n Go atau secara tunai dengan alasan untuk membebaskan pekerja warga asing yang ditahan dalam operasi,” katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi penguatkuasaan JIM di Pelangi Damansara, Petaling Jaya di sini malam tadi.
Beliau berkata majikan kemudian membuat bayaran antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap pekerja tanpa pemeriksaan lanjut, namun mendapati nombor telefon digunakan untuk urusan pembayaran sudah tidak aktif apabila hadir ke pejabat imigresen di Shah Alam.
Khairrul Aminus berkata kegiatan penipuan itu dikesan aktif sejak sebulan lepas dan menyebabkan kerugian kira-kira RM57,000 kepada beberapa majikan yang terperdaya.
Beliau berkata sindiket terbabit turut menggunakan nama dan gambar pegawai imigresen sebenar bagi meyakinkan majikan supaya membuat bayaran.
Khairrul Aminus berkata beberapa laporan polis telah dibuat dan pihaknya menasihati majikan supaya tidak berurusan dengan pihak ketiga bagi urusan pembebasan pekerja mereka.
Beliau berkata sekiranya pekerja warga asing ditahan, majikan perlu hadir bersama dokumen asal untuk urusan semakan dan pembebasan mengikut prosedur sah.
“Kebanyakan mereka (pekerja) ini ada dokumen yang sah, namun pasport mereka dipegang majikan, jadi majikan perlu membawa pasport asal dan kita akan bebaskan mengikut prosedur sebenar,” katanya.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah