KOTA BHARU, 10 Mei (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 menggagalkan cubaan menyeludup masuk 20 lelaki warga Myanmar selepas menahan dua kenderaan dinaiki mereka di Rantau Panjang, Pasir Mas, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata kesemua yang berusia lingkungan 18 hingga 50 tahun itu ditahan kira-kira 8 pagi menerusi Op Taring Delta oleh anggota Cawangan Risikan Ibu Pejabat Briged Tenggara bersama Cawangan Risikan Batalion 7 PGA.
Beliau berkata anggota yang menjalankan rondaan telah mengesan sebuah Toyota Innova dan Nissan Serena sebelum mengekori dan menahan kedua-dua kenderaan terbabit di kawasan parkir sebuah masjid di Rantau Panjang.
“Dua pemandu kenderaan itu bagaimanapun melarikan diri dan gagal dikesan. Pemeriksaan menemukan 20 lelaki warga Myanmar iaitu 11 orang di dalam sebuah kereta Toyota Innova dan sembilan lagi dalam Nissan Serena,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata semakan mendapati hanya tujuh individu memiliki pasport namun tiada cop kemasukan sah ke Malaysia manakala 13 lagi gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.
Beliau berkata PGA turut merampas tujuh pasport, 22 telefon bimbit serta dua kenderaan itu dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM88,200.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua lelaki itu memasuki Malaysia dengan menaiki bot merentasi Sungai Golok melalui laluan haram di sekitar Rantau Panjang.
“Walaupun mereka tidak dapat mengenal pasti lokasi sebenar pendaratan, polis percaya kumpulan itu menggunakan Pengkalan Haram Yasin sebagai laluan masuk.
“Kesemua lelaki warga Myanmar itu memaklumkan mereka dikenakan bayaran masuk antara RM3,000 hingga RM6,000 seorang mengikut destinasi selepas dihantar ke lokasi akhir atau memperoleh pekerjaan,” katanya.
PGA percaya modus operandi itu menunjukkan sindiket penyeludupan migran masih aktif menggunakan laluan sungai sebagai pintu masuk utama ke negara ini.
Semua tangkapan dan rampasan, katanya diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah