Bahasa : BM | EN

PM Anwar Puji Keteguhan ATM Pertahan Perairan Negara

09/05/2026 05:52 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keteguhan, keberanian dan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan setiap inci perairan negara daripada sebarang ancaman sebagai lambang pengorbanan yang jarang terlihat.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata pengorbanan pasukan yang bertugas di kawasan sempadan negara itu menjadi benteng utama yang memastikan rakyat di negara ini terus hidup aman dan tenteram.

“Pagi ini, saya meneruskan lawatan kerja dengan berkunjung ke Pulau Banggi, Sabah seusai Sidang Kemuncak ASEAN di Filipina. Saya ke Pos Dogoton untuk meninjau tahap kesiapsiagaan di kawasan sempadan Malaysia–Filipina.

“Pos Dogoton, antara pos keselamatan hadapan bersempadanan dengan perairan Filipina yang memainkan peranan penting menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan negara di kawasan utara Sabah. Ini termasuk mengawal ancaman pencerobohan, penyeludupan dan aktiviti jenayah rentas sempadan,” kata beliau. 

Anwar berkata beliau turut diberi taklimat berhubung pelaksanaan operasi di pos berkenaan sebelum dibawa meninjau kawasan kepulauan berhampiran serta pengoperasian radar yang menjadi antara aset penting pemantauan keselamatan di kawasan itu.

“Penugasan di kawasan terpencil dengan keadaan muka bumi dan cuaca yang mencabar menuntut ketahanan mental, disiplin serta semangat juang yang tinggi dalam pasukan. Penghargaan tertinggi buat pasukan ATM yang ditugaskan menjaga kedaulatan tanah air di Pos Dogoton,” katanya.

Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba malam tadi di Negeri di Bawah Bayu itu untuk mengadakan lawatan kerja ke Sabah.

-- BERNAMA

 

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami