Bahasa : BM | EN

Lima Individu Dihadap Ke Mahkamah, Seludup 18 Warga Myanmar

30/04/2026 01:18 PM

KLANG, 30 April (Bernama) -- Tiga warga Myanmar dan dua lelaki rakyat tempatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan menyeludup 18 warga Myanmar, awal bulan ini.

Tiga daripada mereka, Hasnul Nazudi Che Ahamed, 45, Mohd Faisal Taib, 37, dan seorang wanita warga Myanmar Ma Nge, 28, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail. 

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, pertuduhan terhadap dua lagi lelaki warga Myanmar akan dibacakan semula susulan mereka tidak memahami bahasa Melayu.

Mereka didakwa secara bersama dengan seorang individu yang masih bebas dengan niat bersama menyeludup 18 warga Myanmar di sebuah premis di Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong pada 12.15 tengah hari, 5 April lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda atau kedua-duanya. 

Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh kerana ia melibatkan isu keselamatan dan memohon kehadiran jurubahasa Myanmar bagi membolehkan pertuduhan dibacakan semula pada prosiding seterusnya.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan kehadiran jurubahasa Myanmar ke mahkamah dan tidak membenarkan ikat jamin terhadap kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu.

-- BERNAMA

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami