Bahasa : BM | EN

WhatsApp Tidak Hantar SMS Konon Akaun Akan Disekat, Jangan Klik Pautan Semberono

24/12/2025 11:33 AM
By :
Azurra Iz

Suntingan: Adila Ali & Shazlina Azman

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan kononnya pengendali WhatsApp menghantar SMS kepada orang ramai memaklumkan pengguna telah melanggar terma perkhidmatan aplikasi itu dan akaun akan disekat dalam tempoh enam jam.

Menurut mesej itu, orang ramai perlu menekan satu pautan yang disertakan agar sekatan tersebut dapat dibatalkan. 

  • Semakan MyCheck mendapati WhatsApp tidak akan menghantar sebarang pautan atau mesej untuk menyekat akaun. Jika berlaku pelanggaran terma, akaun akan terus disekat dan pengguna akan menerima notifikasi sebaik membuka aplikasi tersebut, malah  permohonan semakan juga hanya boleh dibuat menerusi aplikasi itu.

  • Pautan yang disertakan dalam mesej palsu itu juga bukan laman web rasmi WhatsApp. Ia dipercayai taktik scammer untuk memancing data peribadi, justeru orang ramai diminta untuk berwaspada dengan tidak menekan pautan secara sembarangan.

  • pix1

     

    MENGENAI DAKWAAN

    Tular kononnya pengendali WhatsApp menghantar SMS pemberitahuan kepada orang awam memaklumkan bahawa akaun pengguna akan disekat secara automatik dalam tempoh enam jam ekoran terdapat pelanggaran terma perkhidmatan.

    Turut dimaklumkan bahawa sekiranya ingin sekatan itu ditarik balik, pengguna tersebut perlu menekan pautan disertakan untuk log masuk ke laman web rasmi WhatsApp.

     

    pix2

     

    APA YANG KAMI TEMUI

    Bukan Laman Web Rasmi WhatsApp

    Sebagaimana kelaziman, MyCheck memulakan semakan dengan meneliti pautan yang disertakan.

    Terdapat kesalahan ejaan pada perkataan WhatsApp yang dieja ‘whtasapp’.

    Selain itu domain atau alamat pautan tersebut iaitu https://whtasapp-a.com juga kelihatan mencurigakan kerana alamat sebenar laman web rasmi WhatsApp adalah whatsapp.com.

     

    pix3

     

    Kami kemudian mengklik pautan itu untuk mengetahui lebih lanjut kandungan laman web palsu yang mendakwa sebagai laman rasmi WhatsApp.

    Bagaimanapun, akaun tersebut tidak lagi boleh diakses, berkemungkinan telah disekat.

     

    pix4

     

    Netizen Dakwa Mesej Palsu

    MyCheck seterusnya melakukan carian menerusi Google dan menemui satu perkongsian oleh seorang pengguna platform Reddit, yang memaklumkan bahawa dia menerima SMS yang serupa, tetapi dalam Bahasa Cina.

    Pengguna dengan nama NiceGuys 77, menulis hantaran pada 24 Nov 2025 dengan memuat naik tangkap layar mesej yang diterimanya berserta kapsyen:

    I got this weird message to my phone number claiming from whatsapp but its written in chinese. They said my account will be suspended in 12 hours because it's flagged for violation but i haven't done anything that violates whatsapp rules. They told me to click the link to lift the restriction. Is this some type of new scam?”.

    Terjemahan:

    “Saya menerima mesej pelik ke nombor telefon saya yang mendakwa ia daripada WhatsApp, tetapi mesej itu ditulis dalam bahasa Cina. Mereka mengatakan akaun saya akan digantung dalam masa 12 jam atas dakwaan pelanggaran, sedangkan saya tidak melakukan apa-apa yang melanggar peraturan WhatsApp. Mereka menyuruh saya klik pautan untuk menghapuskan sekatan tersebut. Adakah ini sejenis penipuan (scam) baharu?”.

     

    pix5

     

    Hantaran pengguna itu mendapat pelbagai komen daripada netizen yang rata-ratanya menyatakan ia adalah mesej palsu.

    Bahkan ada juga yang berkongsi cerita bahawa akaun WhatsApp sepupunya telah digodam oleh individu lain sebaik dia menerima SMS dan pautan tersebut.

     

    pix6

     

    Carian selanjutnya di platform Reddit menemukan kami kepada satu hantaran dimuat naik seorang lagi pengguna, DrThaerRabeaa yang bertanyakan mengenai akaun WhatsAppnya yang telah disekat.

    Menurut pengguna tersebut, akaunnya tiba-tiba disekat dan dia mendapat notifikasi seperti berikut.

     

    pix7

     

    Pengguna Reddit lain kemudian menulis komen memberitahu mereka juga pernah disekat dan hanya perlu memohon semakan (request a review) kepada pengendali WhatsApp untuk membolehkan akaun mereka digunakan semula.

     

    Terus Sekat, WhatsApp Tidak Hantar SMS Maklum Akan Sekat

    Bagi mendapatkan pengesahan, kami membuat semakan di laman web rasmi WhatsApp iaitu whatsapp.com.

    Menerusi bahagian Soalan Lazim (FAQ) rasmi WhatsApp Help Center, kami menemukan maklumat mengenai sekatan akaun (about account bans).

    Menurut WhatsApp, pihaknya akan membuat sekatan akaun sekiranya percaya aktiviti akaun tersebut melanggar terma perkhidmatan antaranya melibatkan spam, penipuan atau membahayakan keselamatan pengguna WhatsApp.

    WhatsApp turut menjelaskan bahawa jika akaun disekat, pengguna akan melihat notifikasi berikut apabila membuka WhatsApp: ‘Akaun ini tidak dibenarkan menggunakan WhatsApp’ (this account is not allowed to use WhatsApp).

    Malah, WhatsApp turut mengingatkan bahawa tiada perkhidmatan pihak ketiga yang boleh menyahsekat akaun, sebaliknya hanya WhatsApp boleh membuka semula sekatan akaun itu.

     

    Mohon Semakan di Aplikasi Jika Disekat, Tidak Perlu Klik Pautan

    WhatsApp turut memaklumkan bahawa jika pengguna berasakan akaun telah disekat tanpa sengaja, pengguna diminta menekan ruangan mohon semakan (request a review) di aplikasi tersebut.

    Pihak WhatsApp akan membuat semakan dan pengguna akan mengetahui status permohonan, juga menerusi aplikasi tersebut.

    “Setelah akaun anda disemak dan keputusan dibuat oleh pasukan kami, anda akan menerima pemberitahuan daripada WhatsApp dan boleh melihat keputusan tersebut dalam WhatsApp,” menurut maklumat itu.

    Berdasarkan maklumat tersebut, jelas bahawa pengendali WhatsApp tidak menghantar SMS untuk memaklumkan bahawa akaun pengguna akan disekat mahupun menghantar pautan bagi membolehkan akaun yang disekat dibuka semula.

    Bahkan jika akaun seseorang pengguna didapati melanggar terma perkhidmatan, ia akan terus disekat secara automatik dan pengguna hanya akan mendapat notifikasi menerusi WhatsApp serta tidak lagi boleh menggunakan WhatsApp tersebut sehinggalah sekatan dibuka.

     

    Kenal Pasti Mesej Mencurigakan

    Bagi membantu pengguna, WhatsApp turut berkongsi cara mengenal pasti mesej mencurigakan iaitu:

    1. Terdapat kesalahan ejaan atau tatabahasa.

    2. Meminta anda untuk klik pada pautan, mengakitfkan ciri baharu melalui pautan atau memuat turun aplikasi.

    3. Meminta anda berkongsi maklumat peribadi seperti nombor kad kredit atau akaun bank, tarikh lahir atau kata laluan.

    4. Meminta anda untuk memajukan (forward) mesej.

    5. Meminta wang atau mengatakan bahawa anda perlu membayar untuk menggunakan WhatsApp.

    6. Menyamar sebagai seseorang yang anda kenali.

    7. Mesej berkaitan loteri, perjudian, pekerjaan, pelaburan atau pinjaman.

    8. Berbual dengan anda untuk mendapatkan kepercayaan sebelum meminta maklumat peribadi.

     

    KESIMPULAN

    Dakwaan kononnya WhatsApp menghantar mesej kepada orang ramai memaklumkan bahawa akaun mereka bakal disekat kerana berlakunya pelanggaran terma, dan sekatan hanya boleh ditarik balik jika menekan pautan yang disertakan adalah TIDAK BENAR.

    WhatsApp tidak akan menghantar pautan melalui mesej termasuklah SMS berhubung sekatan akaun, sebaliknya jika berlaku pelanggaran terma perkhidmatan, akaun pengguna akan terus disekat dan akan muncul notifikasi sebaik pengguna membuka aplikasi WhatsApp.

    Diingatkan, tiada perkhidmatan pihak ketiga yang boleh menyahsekat akaun WhatsApp, sebaliknya hanya aplikasi itu sahaja yang mempunyai kuasa untuk membuka semula sekatan akaun itu.

    Mesej palsu itu berkemungkinan besar adalah taktik phishing untuk memancing data peribadi orang ramai. Justeru, jangan panik apabila mendapat mesej sedemikian dan jangan klik pautan dengan semberono. 

    -- MYCHECK.MY --

     

    RUJUKAN

    1. Laman Web | whtasapp-a.com 

    2. Laman Web | whatsapp.com 

    3. Reddit | NiceGuy_77 | 24 November 2025 

    4. Reddit | DrThaerRabeaa | Februari 2025

    5. Laman Web |  Perihal Pengharaman Akaun

    6. Laman Web | whatsapp.com | Help Center 

    7. Laman Web | Mengenai Mesej Mencurigakan dan Penipuan

    x

    HUBUNGI KAMI

    Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
    Kementerian Dalam Negeri
    Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
    62546 Putrajaya
    Malaysia

    +603-8880 8854
    +603-8880 8829
    nsomapo[at]moha.gov.my

    Visitors 0

    Ikut Kami