Bahasa : BM | EN

Awas Scammer! Ar-Rahnu Tidak Iklan, Jual atau Lelong Emas Murah di Media Sosial

18/12/2025 02:20 PM
By :
Zed Arjunaidi

Suntingan: Adila Ali & Shazlina Azman

SEKILAS FAKTA

  • Tular di media sosial iklan pajak gadai Islam, Ar-Rahnu membuat lelongan emas perhiasan yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran, iaitu semurah RM370 bagi seutas gelang tangan.

Pengendali akaun itu memaklumkan lelongan emas itu terpaksa dibuat kerana pemiliknya gagal melunaskan hutang pinjaman di kedai pajak gadai berkenaan.

  • Semakan MyCheck mendapati mana-mana institusi pajak gadai Ar-Rahnu tidak menjalankan urusan jual beli emas secara dalam talian.

  • PDRM mengesahkan terdapat modus operandi scammer menyamar sebagai pihak Ar-Rahnu. Berdasarkan statistik PDRM bagi tempoh Januari 2023 hingga 31 Nov 2025, terdapat 110 kes penipuan emas Ar-Rahnu dengan nilai kerugian lebih setengah juta ringgit.

  • pix1

     

    MENGENAI DAKWAAN

    Tular di TikTok iklan lelongan barangan emas perhiasan yang kononnya dijalankan oleh pajak gadai Islam, Ar-Rahnu.

    Menerusi iklan itu, pelbagai jenis gelang emas dijual semurah RM370 seutas.

    Turut tertera nombor untuk dihubungi dan orang ramai yang ingin membuat pembelian diminta menghantar mesej menerusi WhatsApp.

     

    pix2

     

    APA YANG KAMI TEMUI

    Logo Ar-Rahnu X’Change

    MyCheck meneliti akaun TikTok yang mengiklankan emas tersebut dan mendapati ia menggunakan gambar profil yang tertera logo Ar-Rahnu X’Change. Ar-Rahnu X’Change adalah francais pajak gadai Islam di Malaysia.

    Dalam akaun tersebut terdapat banyak gambar gelang tangan dengan harga yang murah diiklankan.

     

    Lelong Emas yang Tidak Dituntut

    Di ruangan komen pula, ramai netizen bertanyakan mutu emas tersebut kerana ia dijual terlalu murah selain menyatakan minat untuk membeli emas tersebut.

    Pengendali akaun itu turut aktif membalas komen netizen dengan memaklumkan bahawa mutu emas adalah 916 namun dijual jauh lebih murah dari harga pasaran kerana ia adalah emas yang tidak dituntut oleh penggadai.

     

    pix3

     

    Hanya RM540 Untuk 43 Gram Gelang Emas

    Bagi mendapatkan maklumat lanjut, MyCheck cuba menghantar mesej menerusi WhatsApp melalui nombor telefon yang diberikan, kononnya berminat untuk membeli emas tersebut.

    Kami mendapat respons segera daripada pihak ‘Ar-Rahnu’ itu yang bertanyakan emas mana yang kami mahu.

    MyCheck turut menghantar satu gambar gelang tangan yang kami ambil di akaun TikTok ‘Ar-Rahnu’ itu dan bertanyakan berapakah berat seutas gelang tangan dengan harga RM540, seperti yang diiklankan dalam gambar tersebut.

    Kami kemudian dimaklumkan seutas gelang berharga RM540 itu adalah seberat 43.87gram.

    Individu itu turut menjelaskan bahawa emas yang dijual adalah tulen dengan mutu 916 dan pihaknya menjual emas dengan murah adalah disebabkan emas tersebut tidak dituntut semula oleh pelanggan yang telah menggadaikan barangan kemas mereka dalam tempoh lima bulan.

     

    pix4

     

    Harga Gadaian Emas Terkini

    MyCheck seterusnya membuat semakan harga gadaian emas terkini di laman web Ar-Rahnu X’Change.

    Berdasarkan maklumat tertera, harga emas mutu 916 atau 22 karat yang direkodkan pada 17 Nov 2025 adalah RM593.34 per gram.

     

    pix5

     

    Harga Emas ‘Tidak Masuk Akal’, Gambar ‘Dicuri’ Daripada Pengguna Facebook

    Berdasarkan kadar gadaian emas terkini yang dipaparkan di laman web Ar-Rahnu X’Change, emas yang dilelong di TikTok itu bukan hanya lebih murah daripada pasaran sebaliknya ia adalah ‘tidak masuk akal’.

    Justeru, MyCheck membuat semakan gambar yang diiklankan di TikTok bagi mengenal pasti sumber sebenar gambar tersebut.

    Kami menggunakan carian imej berbalik di Google dan mendapati gambar itu sebenarnya diambil daripada hantaran seorang pengguna Facebook, Siti Maizurah Yamadi melalui perkongsiannya di Kumpulan (Group) JUAL BELI EMAS TERPAKAI.

     

    pix6

     

    Ar-Rahnu Tidak Jual Emas Secara Dalam Talian

    MyCheck seterusnya melakukan carian lanjut di laman web Ar-Rahnu X’Change dan menemukan kenyataan berhubung amaran penipuan.

    Menurut kenyataan itu, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan logo, imej dan gambar premis serta warga kerja Ar-Rahnu X’Change untuk tujuan promosi perniagaan emas mereka.

    “Kami tidak melantik mana-mana pihak ketiga (ejen) untuk sebarang urusan menjual emas lelong, emas terpakai dan sebarang bentuk perniagaan di dalam dan di luar premis perniagaan. Operasi Ar-Rahnu X’Change hanya menawarkan pajak gadai Islam sahaja.

    “Jika ada pihak menawarkan sebarang perkhidmatan berkaitan emas melalui laman media sosial, telefon, SMS, e-mel dan sebagainya, jangan sesekali dedahkan maklumat peribadi atau maklumat akaun kewangan anda,” menurut kenyataan itu.

     

    pix7

     

    Selain Ar-Rahnu X’Change, beberapa Ar-Rahnu lain antaranya Ar-Rahnu YaPEIM, Ar-Rahnu Cahaya, Ar-Rahnu Emas turut memuat naik amaran penipuan emas lelong di platform media sosial.

     

    Scammer Guna Nama Ar-Rahnu Perdaya Mangsa Beli Emas Murah

    MyCheck turut mendapatkan komen daripada PDRM menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) berhubung isu emas yang dijual murah secara dalam talian.

    Pengarahnya, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan terdapat modus operandi scammer menyamar sebagai pihak Ar-Rahnu untuk menipu mangsa.

    “Menurut data rasmi PDRM, sebanyak 110 kes scammer menyamar sebagai Ar-Rahnu telah direkodkan bagi tempoh Januari 2023 hingga November 2025, membabitkan nilai kerugian lebih RM640,000.

    “Berdasarkan keseluruhan laporan yang diterima, modus operandi sindiket adalah penyamaran sebagai Ar-Rahnu untuk memperdaya mangsa menyerahkan barangan kemas atau membuat pembayaran melalui platform atau individu tidak sah,” katanya.

    Rusdi menasihatkan orang ramai supaya berurusan melalui saluran rasmi institusi Ar-Rahnu bertauliah sahaja dan mengelakkan sebarang transaksi melalui pautan, nombor telefon atau individu yang meragukan.

    Orang ramai yang menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan sindiket sedemikian juga diminta tampil membuat laporan polis dengan segera.

     

    KESIMPULAN

    Dakwaan bahawa institusi pajak gadai Islam, Ar-Rahnu mengiklan, menjual atau melelong emas yang tidak dituntut dengan harga murah di media sosial adalah TIDAK BENAR.

    Berdasarkan semakan MyCheck, mana-mana pajak gadai termasuk Ar-Rahnu tidak menjalankan sebarang urusan jual beli emas secara dalam talian.

    PDRM turut mengesahkan ia adalah modus operandi scammer yang menyamar sebagai pihak Ar-Rahnu untuk menjerat mangsa.

    Sebagai pengguna, jangan sesekali terpedaya dengan tawaran emas murah yang harganya tidak masuk akal.

    Misalan gelang emas seberat 43 gram dengan nilai gadaian lebih RM25,000, dijual dengan harga hanya RM540. Tidak masuk akal bukan?

    -- MYCHECK.MY --

     

    RUJUKAN

    1. TikTok | Pajak Gadai Arrah31 | 28 November 2025

    2. Ar-Rahnu X’Change | AWAS jangan TERPERDAYA | 11 Januari 2024

    3. Ar-Rahnu X’Change | Harga Gadaian Emas

    4. Ar-Rahnu YaPEIM | TikTok | 31 Julai 2025

    5. Ar-Rahnu Cahaya | TikTok | 29 Ogos 2025

    6. Ar-Rahnu Emas | Instagram | 2 Disember 2025

    7. Facebook | Jual Beli Emas Terpakai | Siti Maizurah Yamadi | 11 November 2025

    x

    HUBUNGI KAMI

    Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
    Kementerian Dalam Negeri
    Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
    62546 Putrajaya
    Malaysia

    +603-8880 8854
    +603-8880 8829
    nsomapo[at]moha.gov.my

    Visitors 0

    Ikut Kami