Suntingan: Adila Ali & Shazlina Azman
SEKILAS FAKTA
Tular di media sosial dakwaan bahawa orang ramai menerima bungkusan menerusi pos yang dihantar terus ke rumah sedangkan tidak ada menempah atau membeli apa-apa barangan.
Dikatakan bungkusan yang diterima itu adalah hadiah yang dihantar oleh syarikat platform e-dagang kepada pelanggan sebagai tanda penghargaan kerana membuat pembelian di platform mereka.
PDRM mengesahkan ia taktik baharu scammer. Selepas menerima hadiah, scammer akan menghubungi mangsa dan memujuk untuk melakukan tugasan berbayar yang dijanjikan komisen tinggi tetapi memerlukan mangsa membuat pembayaran tertentu.
Orang ramai diminta mengabaikan jika menerima ‘hadiah’ sedemikian dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa atau syarikat kurier terlibat.
pix1
MENGENAI DAKWAAN
Tular perkongsian netizen di platform Threads mengenai hadiah yang dihantar ke rumah menerusi pos.
Menurut orang ramai, mereka telah dihubungi oleh individu yang mendakwa daripada platform e-dagang dan diberitahu akan diberikan hadiah sebagai tanda penghargaan kerana telah membuat pembelian menerusi platform tersebut.
Ramai meluahkan kebimbangan dan tertanya-tanya adakah ia merupakan taktik scammer.
pix2
APA YANG KAMI TEMUI
Ramai Terima Hadiah, Ditipu
MyCheck turut melakukan semakan di TikTok dan menemukan satu video dimuat naik seorang wanita yang berkongsi pengalamannya hampir menjadi mangsa scammer selepas menerima hadiah berupa botol air menerusi pos.
Wanita itu yang menggunakan nama akaun @mardiafabli berkata dia pada awalnya menerima panggilan daripada individu yang tidak dikenali mendakwa daripada sebuah syarikat pemasaran digital.
Individu itu memaklumkan akan menghantar hadiah kepadanya sebagai tanda penghargaan kerana telah menyokong platform e-dagang, antaranya Shopee dan TikTok.
@mardiafabli memberitahu dia telah menerima botol air itu namun kerana rasa tidak sedap hati dia telah mengambil keputusan untuk membuangnya.
Wanita itu berkata dia juga bernasib baik kerana telah melihat banyak video mengenai trend baharu scammer yang menghantar hadiah ke rumah orang awam, yang menyebabkan dia tidak melayan panggilan scammer yang menghubunginya selepas menghantar barangan itu.
MyCheck turut menatal ruangan komen. Ramai netizen memberitahu turut menerima pelbagai jenis hadiah melalui pos dan ada di antara mereka telah ditipu (scam) sebanyak RM9,000.
pix3
Modus Operandi Baharu
MyCheck melakukan carian menerusi Google, menggunakan kata kunci ‘parcel scammer’, kami menemukan satu video berkaitan yang dimuat naik Duta Anti Scam PDRM, Rahmat Fitri Abdullah di TikTok @rahmatfitrilawanscammer.
Menurut Rahmat Fitri, penghantaran bungkusan ke rumah adalah modus operandi terbaharu oleh scammer.
Beliau berkata scammer akan menghantar bungkusan melalui pos dan apabila barangan diterima, nombor telefon mangsa akan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp (WhatsApp group) atau Telegram.
Mangsa akan diminta untuk membuat komen atau penilaian (review) terhadap bungkusan yang telah diterima.
Seterusnya, mangsa akan diminta untuk berkongsi butiran peribadi serta perbankan seperti kod QR bank dan lain-lain.
Mangsa kemudian diminta pula melakukan beberapa tugasan yang akhirnya menyebabkan mangsa terjerat apabila secara tidak sedar telah melakukan pembayaran kepada scammer.
pix4
Trend Baharu, Taktik Sama Dengan Penipuan Kerja Sambilan
Bagi mendapatkan maklumat lanjut, MyCheck menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.
Pengarahnya, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan wujudnya trend penipuan baharu yang mana mangsa menerima bungkusan atau hadiah yang dihantar terus ke rumah tanpa diminta.
Berkata mangsa akan dihubungi oleh individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat pemberi hadiah dan seterusnya mengarahkan mangsa untuk melakukan beberapa tugasan berbayar.
Menurut Rusdi, mangsa dijanjikan pulangan komisen yang tinggi sekiranya menyelesaikan tugasan tersebut.
“Namun, selepas beberapa transaksi pembayaran dibuat, mangsa akhirnya menyedari bahawa wang tersebut tidak dapat dipulangkan dan telah menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Rusdi menjelaskan, modus operandi penipuan ini mempunyai persamaan dengan penipuan kerja secara sambilan (part-time job scam) yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.
Beliau turut memaklumkan setakat ini, pihaknya mengesan tiga laporan polis berkaitan telah dibuat masing-masing di Kuala Lumpur, Kedah dan Sarawak, melibatkan kerugian lebih RM20,000.
Lapor Pihak Berkaitan
Rusdi turut menasihati orang ramai agar melaporkan segera kepada pihak berkuasa atau syarikat kurier terlibat, sekiranya menerima sebarang bungkusan yang tidak diminta.
“Abaikan jika menerima bungkusan yang tidak diminta. Jangan membuat sebarang pembayaran walaupun diminta untuk mengaktifkan hadiah, membuka bungkusan atau menyelesaikan tugasan,” katanya.
Selain itu katanya jangan memuat turun aplikasi luar yang dihantar oleh individu tidak dikenali dan sahkan dahulu nombor telefon atau identiti yang menghubungi sebelum berinteraksi.
Orang ramai juga diminta menyemak nombor akaun atau talian yang meragukan melalui portal Semak Mule di https://semakmule.rmp.gov.my.
KESIMPULAN
Berdasarkan semakan MyCheck, memang BENAR terdapat taktik baharu scammer menghantar hadiah melalui perkhidmatan pos kepada orang awam.
Selepas menerima hadiah, mangsa akan menerima panggilan daripada scammer dan diminta melakukan tugasan berbayar selain diperdaya untuk membuat pembayaran tertentu.
Orang ramai diminta agar melaporkan segera kepada pihak berkuasa atau syarikat kurier terlibat, sekiranya menerima sebarang bungkusan yang tidak diminta.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah