Bahasa : BM | EN

Insiden Bot Karam: PDRM Bekerjasama Dengan Interpol, ASEANAPOL Kesan Sindiket

16/11/2025 12:43 PM

ALOR SETAR, 16 Nov (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Polis ASEAN (ASEANAPOL) bagi mengesan sindiket yang dikatakan terbabit dengan insiden bot membawa migran karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand, baru-baru ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata berdasarkan maklumat awal diperolehi, pihaknya percaya sindiket tersebut beroperasi di beberapa negara jiran selain di Malaysia.

“Dalam PDRM kita mempunyai unit khas Bahagian D3 (Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran - ATIPSOM) di bawah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman dan ada kolaborasi dengan Interpol (serta) Polis ASEAN.

“Kita akan kongsi maklumat atau butiran yang diperolehi untuk cuba mengesan sindiket yang beroperasi di negara-negara jiran dan lihat bagaimana perkembangan seterusnya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Adzli berkata berdasarkan soal siasat terhadap mangsa terselamat dalam insiden itu, mereka mendakwa dikumpulkan di lima lokasi antara Buthidaung dan Teknaf berhampiran sempadan Bangladesh dan Myanmar untuk menaiki kapal diuruskan sindiket.

Beliau berkata modus operandi digunakan sindiket itu ialah mengumpulkan sebanyak mungkin penumpang untuk dimuatkan dalam kapal dalam kapasiti maksimum sebelum berlayar.

“Kapal ini berlabuh di satu terusan antara dua negara tersebut dan hanya akan berlayar selepas cukup (penumpang) dengan kapasiti maksimum iaitu dalam kes ini, lebih kurang 300 orang. Jadi pelayaran itu sebenarnya mengambil masa lebih kurang dua minggu sahaja,” katanya.

Adzli berkata mangsa turut mendakwa bayaran kepada sindiket hanya dilakukan oleh ahli keluarga selepas sampai ke negara ini.

Selain itu, beliau berkata polis turut menemukan beberapa catatan termasuk nombor telefon daripada mangsa terselamat yang disyaki berkaitan dengan ejen sindiket.

Dalam pada itu, beliau berkata soal siasat dan kawad cam terhadap 14 mangsa terselamat mengesahkan mereka sebagai migran dan bukan ahli atau ejen sindiket.

Mangsa terselamat mendakwa terdapat lima individu dipercayai ahli sindiket mengendalikan kapal induk, sebelum mereka dipindahkan ke dua bot lebih kecil ketika sampai di perairan sempadan Malaysia-Thailand dan meneruskan pelayaran sendiri.

Insiden bot karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand, dekat Langkawi yang dikatakan membawa lebih 70 pendatang tanpa izin setakat ini mengorbankan 29 nyawa sementara 14 lagi ditemukan selamat.

-- BERNAMA

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami