KOTA KINABALU, 16 Nov (Bernama) -- Kerajaan meletakkan keutamaan tinggi terhadap usaha membanteras gejala rasuah, terutama kes-kes berskala besar yang melibatkan kerugian berbilion ringgit kepada negara, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau memberi contoh tindakan tegas pentadbirannya dalam membanteras kartel dan sindiket penyeludupan di Pelabuhan Klang, yang menurutnya telah beroperasi sejak puluhan tahun tanpa tindakan tegas sebelum ini.
Sejurus selepas menerima taklimat mengenai kegiatan penyeludupan di pelabuhan berkenaan, kerajaan katanya telah melaksanakan tindakan agresif sehingga membawa kepada rampasan bernilai RM15.5 bilion serta pendakwaan ke atas beberapa individu.
“Wujud satu kartel besar yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan di Pelabuhan Klang, termasuk kontena berisi dadah yang dihantar keluar dari pelabuhan itu sebelum ditahan pihak berkuasa di Australia.
“Saya kata, saya tidak boleh lagi bertolak ansur dengan perkara ini. Kita lakukan serbuan, dan sindiket itu sangat kuat, ada orang dalam, ada ugutan.
“Lebih buruk lagi, ada juga perlakuan jenayah termasuk kes kematian dan ugutan. Tetapi saya salute dan puji agensi kerana mereka berani bertindak apabila kerajaan mempunyai kemahuan politik (political will) yang jelas. Kini, kita telah mengambil tindakan, kita berjaya membuat rampasan dan mendakwa beberapa individu di mahkamah. Itu adalah kes yang jelas,” katanya pada majlis Sarapan Pagi dan Sembang Santai Pengamal Media Sabah bersama Perdana Menteri hari ini.
Anwar menegaskan bahawa segala tindakan membanteras rasuah tetap tertakluk kepada bukti kukuh dan keperluan undang-undang, selain menolak dakwaan bahawa kerajaan perpaduan mengabaikan komitmen memerangi rasuah hanya kerana bekerjasama dengan parti-parti yang pernah dikaitkan dengan skandal.
Beliau berkata banyak tuduhan yang tular hanya bersandarkan rakaman video atau dakwaan umum tanpa asas, sedangkan tindakan undang-undang hanya boleh diambil selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan wujud kes yang boleh dibawa ke mahkamah.
Malah, katanya, kerajaan tidak pernah menghalang sebarang siasatan terhadap mana-mana individu, termasuk tokoh politik berpengaruh.
“Apabila seseorang memegang jawatan ini, jika ada compelling case, ada bukti dan asas pertuduhan, itu saya anggap sebagai garis merah. Tetapi jika hanya persepsi, itu berbeza. Saya tidak mahu meninggalkan legasi kononnya memerangi rasuah tetapi pada masa sama memperkayakan diri atau kroni. Saya sudah cukup melalui pelbagai kesusahan dalam hidup saya.
“Kalau dikatakan gabungan (kerajaan) tidak sempurna, saya setuju… tetapi bagi saya, rasuah tetap garis merah. Kalau ada rasuah, sama ada Cina atau Melayu, saya tidak kira. Malah ada yang kata seorang bekas menteri tidak boleh disiasat, tetapi bagi saya itu tidak boleh diterima. Negara mesti menerima mesej jelas bahawa rasuah tidak boleh ditoleransi,” katanya.
Perdana Menteri turut mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang mempertahankan individu kaya atau berpengaruh yang terlibat dalam kes besar kerana mempunyai motif tersendiri.
Menurutnya, rasuah kini bersifat sistemik dan memerlukan gabungan tindakan tegas, penambahbaikan penguatkuasaan serta perubahan budaya kerja.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah