Bahasa : BM | EN

Kerajaan Cadang Naikkan Had Umur Minimum Guna Media Sosial Kepada 16 Tahun

17/10/2025 06:07 PM

PUTRAJAYA, 17 Okt (Bernama) -- Kerajaan bercadang menaikkan had umur minimum penggunaan media sosial kepada 16 tahun bagi membendung gejala sosial dalam kalangan pelajar sekolah, kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, dengan kerajaan akan turut meneliti keperluan serta mekanisme mewajibkan pendaftaran akaun media sosial menggunakan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, MyDigitalID dan pasport.

Beliau berkata bagi membincangkan secara teliti kebolehlaksanaan serta aspek teknikal mekanisme berkenaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama-sama agensi berkaitan akan menghantar delegasi untuk bertemu dengan pengendali platform media sosial di Singapura pada minggu depan.

"Mekanisme pendaftaran menggunakan dokumen rasmi mungkin sama seperti proses e-KYC yang dilaksanakan dalam aplikasi perbankan dan e-dompet," katanya pada sidang media pascamesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Menjelas lanjut, Fahmi berkata perbincangan juga akan diadakan dengan Bank Negara Malaysia dan beberapa pihak lain berdasarkan pengalaman pelaksanaan sistem e-KYC bagi e-dompet seperti Touch n Go eWallet dan Grab yang menggunakan dokumen rasmi kerajaan.

"Saya ingin tegaskan kita akan adakan perbincangan dengan pihak platform media sosial, yang telah diputuskan pada hari ini ialah peringkat dasar. Kami akan maklumkan setelah saya mendapat laporan hasil daripada perbincangan di Singapura," katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata MCMC juga diminta meneliti tindakan yang boleh diambil terhadap mana-mana platform e-dagang yang didapati terus menjual barangan yang tidak dibenarkan seperti produk narkotik atau senjata berbahaya. 

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dari semasa ke semasa mengeluarkan arahan bagi menurunkan iklan produk terlarang yang dikesan.

"Saya meminta MCMC meneliti keperluan sekiranya pihak syarikat e-dagang tidak memberikan kerjasama yang baik, apakah tindakan lanjut yang boleh diambil untuk pastikan mereka akur dan mematuhi arahan kerajaan serta undang-undang negara," katanya.

Fahmi berkata demikian selepas ditanya mengenai langkah yang diambil bagi membendung pembelian senjata dalam talian, selepas polis mengesahkan senjata tajam yang dirampas daripada suspek kes bunuh pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya dibeli secara dalam talian.

-- BERNAMA

 

 

 

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami