Bahasa : BM | EN

Kes Eksploitasi Seks: Anggota Polis Antara 12 Ahli Sindiket Ditahan

18/10/2025 02:12 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Seorang anggota polis antara 12 individu ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan memperdagangkan tujuh wanita warga India untuk tujuan eksploitasi seks, dalam satu serbuan di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata selain anggota polis berusia 34 tahun berkenaan, suspek lain yang ditahan ialah seorang lagi lelaki tempatan berusia 63 tahun serta enam lelaki dan empat wanita warga India berusia 21 hingga 58 tahun.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan melalui operasi khas dikenali sebagai Op Pintas (Eksploitasi Seks) yang dijalankan Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (D3) pada 1 pagi, 30 Sept lepas.

“Pada 16 Okt lepas, kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan dipersetujui untuk menuduh lima tangkapan termasuk anggota polis berkenaan, yang disyaki terlibat sebagai ahli sindiket di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Selain itu, lima tangkapan warganegara asing turut dituduh di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan, sambil menambah kesemua mereka dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah 9, Kompleks Mahkamah Jalan Duta semalam.

Kumar berkata melalui serbuan berkenaan, polis turut menyelamatkan tujuh wanita warga India berusia 25 hingga 40 tahun yang diperdaya datang ke Malaysia kononnya untuk bekerja sebagai pembantu rumah, namun dipaksa menjadi pekerja seks.

“Mangsa dikawal ketat oleh ahli sindiket dan ada antara mereka dipukul serta diugut jika enggan mematuhi arahan,” katanya.

Beliau memberi amaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah pemerdagangan orang dan tindakan tegas akan diambil terhadap semua individu tanpa mengira latar belakang.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pemerdagangan orang atau eksploitasi seks di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami