Bahasa : BM | EN

Kajian Menyeluruh Isu Sosial Di Sekolah Sedang Dilaksanakan - Fahmi 

17/10/2025 05:39 PM

PUTRAJAYA, 17 Okt (Bernama) -- Kerajaan sedang melaksanakan kajian menyeluruh berhubung isu sosial yang berlaku di sekolah, kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata kajian terbabit dijalankan oleh sebuah jawatankuasa khas dan laporannya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi membuat keputusan berhubung tindakan lanjut yang perlu diambil.

"Satu kajian penuh terhadap isu-isu yang dihadapi oleh sekolah akan diusahakan oleh sebuah jawatankuasa khas, yang laporannya akan disediakan dalam masa terdekat, secepat mungkin," katanya pada sidang media pascamesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini. 

Berhubung isu sama, beliau berkata Jemaah Menteri turut bersetuju bahawa terdapat keperluan untuk meningkatkan kehadiran anggota polis di sekolah.

"Kehadiran anggota PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan dapat memberikan satu signal bahawa sekolah kita ialah tempat yang selamat … Kementerian Dalam Negeri akan mengeluarkan kenyataan penuh sejurus selepas ini," katanya.

Fahmi berkata Kementerian Pendidikan juga akan mengumumkan satu ketetapan supaya pemeriksaan rambang (spot check) di sekolah dilaksanakan secara lebih kerap. 

"KPM (Kementerian Pendidikan) juga akan mengeluarkan satu panduan kepada sekolah-sekolah untuk melaksanakan spot check secara mingguan," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata Jemaah Menteri mencadangkan supaya polis serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertingkatkan pemantauan keselamatan di sekolah.

Beliau berkata mesyuarat Kabinet hari ini memberikan tumpuan kepada soal pendidikan, masalah disiplin di sekolah dan kerisauan ramai termasuk keluarga, ibu bapa serta pelajar.

Baru-baru ini, negara digemparkan dengan beberapa insiden tragis yang berlaku di sekolah termasuk kes membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditikam sehingga maut oleh seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah di Selangor dan kes rogol bergilir-gilir membabitkan empat pelajar lelaki tingkatan lima dan seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di Melaka.

-- BERNAMA

 

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami