Bahasa : BM | EN

Sindiket Minyak Eksploitasi Tanah Persendirian, Ancaman Subsidi Dan Keselamatan

18/10/2025 10:35 AM

KOTA BHARU, 18 Okt (Bernama) -- Aktiviti penyeludupan minyak bersubsidi di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand terus menimbulkan kebimbangan apabila sindiket menggunakan strategi menyewa tanah persendirian untuk dijadikan ‘pangkalan haram’ dan mengeksploitasi kekangan geografi serta had kuasa penguatkuasaan di kawasan sungai.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail berkata penyeludup menyewa tanah di tepi Sungai Golok untuk bina jeti kecil bagi pemindahan minyak ke negara jiran secara haram. 

Beliau berkata pemilik tanah sering memberi alasan penggunaan untuk pertanian atau kerja pembersihan banjir tetapi kawasan itu sebenarnya digunakan bagi operasi haram.

“Saya boleh katakan pemilik tanah hanya menyewakan kawasan, operasi dikendalikan pihak lain seperti penyelia, transporter, tukang buka pintu dan pengutip bayaran,” katanya.

Beliau berkata setiap individu yang berperanan masing-masing akan diberikan upah untuk setiap transaksi pemindahan minyak yang berjaya diseludup.

Azman berkata minyak subsidi yang dibawa ke Thailand dijual berdasarkan berat (kilogram) bukan liter seperti di Malaysia dan struktur harga berubah mengikut permintaan pasaran di sana. 

“Dulu satu tong tiga liter dijual sekitar RM31, kini penyerahan kira-kira RM2.60 seliter tetapi pembeli di sebelah sana semakin berhati-hati kerana pasaran mereka turut terjejas,” katanya.

Beliau berkata selain kerugian ekonomi kepada subsidi negara, aktiviti berkenaan turut menimbulkan isu keselamatan. 

“Operasi di zon sempadan sungai menyukarkan tindakan penguatkuasaan kerana penyeludup mudah melarikan diri ke perairan Thailand. 

“Pernah berlaku tembakan daripada penyeludup apabila pihak berkuasa Malaysia menghampiri situasi yang merisikokan anggota kerana batas sempadan hanya beberapa meter dan jarak penglihatan pada waktu malam agak terhad,” katanya.

Beliau turut menjelaskan kekangan teknikal di lapangan, sebelah perairan negara jiran dilihat lebih tersusun dengan tebing dan infrastruktur ringkas, manakala sisi Malaysia kerap kurang pencahayaan dan kawalan. 

“Teknologi pengawasan sahaja tidak mencukupi. Risiko lebih tinggi pada waktu malam tiada lampu, jarak penglihatan terhad dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku apabila penyeludup bertindak agresif untuk meloloskan diri,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata beliau menyokong saranan Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat supaya dipertimbangkan pembinaan pagar atau tembok sempadan di kawasan terpilih di sempadan Kelantan-Thailand.  

Beliau bagaimanapun mengingatkan isu besar perlu diselesaikan termasuk pemilikan tanah, peruntukan bajet untuk pengambilan tanah dan pampasan kepada pemilik.

“Sempadan semula jadi ialah sungai, kami perlu tentukan di mana tembok atau pagar diletakkan. Untuk tindakan segera, tanah kerajaan negeri yang terletak di beberapa lokasi boleh diambil tindakan dahulu bagi menutup jeti-jeti haram yang diketahui, sementara isu tanah persendirian memerlukan proses pengambilan dan pampasan,” katanya.

Azman turut menggesa pendekatan berperingkat dan penyelarasan antara agensi serta perbincangan rentas sempadan dengan pihak berkuasa Thailand bagi membendung kegiatan yang bukan sahaja menjejaskan subsidi tetapi juga keselamatan awam.

Sementara itu, KPDN dilaporkan merampas pelbagai barangan kawalan bersubsidi bernilai RM375,185, bagi tempoh 1 Jan hingga akhir bulan lepas.

Azman berkata jumlah itu merangkumi barangan kawalan utama di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 seperti petrol, diesel dan minyak masak yang diseleweng untuk tujuan penyeludupan ke negara jiran dan dijual di pasaran gelap.

Beliau berkata antara barangan disita adalah petrol (75,929.44 liter), diesel (29,483 liter) dan minyak masak peket bersubsidi (38,750kg).

“Rampasan secara keseluruhan termasuk kenderaan dan barangan kontraban lain adalah sebanyak RM3.52 juta hasil pelaksanaan pelbagai operasi penguatkuasaan di seluruh negeri dalam tempoh Januari hingga September 2025.

Dalam tempoh sama, sebanyak 1,086 tindakan kes telah diambil di bawah perundangan KPDN, manakala 197 tangkapan turut dilakukan melibatkan individu tempatan dan warga asing.

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami