Bahasa : BM | EN

Kadar Jenayah Di Sarawak Turun 10 Peratus - Pesuruhjaya Polis

10/10/2025 11:18 AM

KUCHING, 10 Okt (Bernama) -- Kadar jenayah di Sarawak mencatat penurunan 10 peratus bagi tempoh Januari hingga September tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah.

Beliau berkata 3,558 kes direkodkan setakat September berbanding 3,965 kes dalam tempoh sama tahun lepas, dengan kadar penyelesaian kes turut meningkat dua kali ganda hasil tindakan pencegahan dan penyiasatan berkesan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak.

“Bagi jenayah kekerasan sebanyak 463 kes direkodkan berbanding 480 kes tahun lepas, iaitu penurunan empat peratus dengan kadar penyelesaian 98 peratus.

“Kes rogol pula meningkat tujuh kes kepada 123 tahun ini manakala kes samun tanpa senjata turut meningkat enam kes kepada 48 kes,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) hari ini.

Beliau berkata jenayah harta benda juga menunjukkan trend penurunan sebanyak 11 peratus kepada 3,095 kes, berbanding 3,485 kes dalam tempoh sama tahun lepas namun kes curi kenderaan meningkat 24 peratus dengan 214 kes direkodkan tahun ini.

Dalam usaha memperkukuh hubungan dengan masyarakat, beliau berkata JSJ Sarawak telah menubuhkan akaun media sosial rasmi di platform TikTok dan Facebook menggunakan nama “CID_Sarawak Official” bagi menyampaikan maklumat keselamatan serta mendekati golongan muda.

“Melalui media sosial ini, kejayaan yang dicapai oleh JSJ akan dimuat naik ke laman sosial sekali gus mengembalikan kepercayaan masyarakat kepada PDRM, dengan setiap laporan yang dibuat akan disiasat hingga pendakwaan dijalankan,” katanya sambil menambah orang ramai boleh menyalurkan maklumat jenayah melalui hotline JSJ di talian 013-5253052.

Sementara itu, Mohamad Zainal berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak merekodkan 8,540 tangkapan berkaitan dadah dari awal tahun hingga 30 Sept, meningkat 1.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Pelbagai jenis dadah bernilai RM28.4 juta berjaya dirampas, meningkat 13 peratus berbanding RM25.1 juta pada 2024. Selain itu, JSJN turut melucut hak harta bernilai RM12.4 juta berbanding RM1.1 juta tahun lepas,” katanya.

Beliau turut memaklumkan jenayah komersial meningkat 60.7 peratus kepada 3,016 kes, dengan kebanyakan kes melibatkan penipuan atas talian seperti e-dagang, pelaburan palsu dan pinjaman tidak wujud.

Pesuruhjaya polis itu turut menasihatkan orang ramai agar berwaspada dan menggunakan saluran rasmi seperti National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 atau aplikasi Check Scammers CCID sebelum membuat sebarang transaksi. 

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami