Bahasa : BM | EN

Rejimen Sempadan Gagalkan Cubaan Seludup Rokok, Minuman Keras Di Limbang

24/07/2025 02:21 PM

LIMBANG, 24 Julai (Bernama) -- Tindakan pantas trup Batalion Kesembilan Rejimen Sempadan (9 RS) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 680 karton rokok dan 16 karton minuman keras di kawasan sempadan negara di sini awal pagi ini.

Markas Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Briged) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejadian berlaku kira-kira 2 pagi ketika anggotanya melakukan rondaan berhampiran sebuah jeti sebelum menahan sebuah kereta Perodua Myvi.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu kereta berkenaan adalah seorang warganegara Malaysia yang dipercayai cuba menjalankan aktiviti penyeludupan melalui laluan sungai.

“Rampasan melibatkan pelbagai jenama rokok dan minuman keras dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM139,228.30 termasuk kenderaan yang digunakan suspek. Kesemua barangan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Panglima 9 Briged Brig Jen Jafri Sulaiman turut merakamkan ucapan syabas kepada trup 9 RS atas kejayaan itu.

“Tentera Darat akan terus komited memperkukuh kawalan keselamatan sempadan negara bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan memastikan kedaulatan tanah air terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami