JITRA, 25 Julai (Bernama) -- Agensi penguatkuasaan khususnya di sempadan negara perlu meningkatkan lagi keberkesanan dalam usaha membanteras penyeludupan terutamanya dadah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata beliau memahami bahawa bukan mudah untuk menangani isu berkenaan memandangkan sempadan negara yang luas meliputi udara, darat serta laut, dan sudah pasti ia memerlukan kerjasama yang erat semua agensi untuk menjaga sempadan negara daripada dibolosi.
“Walaupun (agensi) cekap, tapi tak mudah sebab sempadan luas...namun semua agensi penguatkuasaan perlu meningkatkan kecekapan bagi mengelak ketirisan dalam pengurusan penguatkuasaan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Narkotik, termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS)... tanggungjawab besar hendak selamatkan anak bangsa.
“Kalau mahu dana, kemudahan, kelengkapan untuk atasi masalah dadah ini, kita akan cuba bagi,” kata beliau berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2025 di Dataran Darulaman di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata dalam usaha memerangi isu dadah, kerajaan perlu mengambil pendekatan tawaduk dan sedia bekerjasama dengan semua pihak, serta akan sentiasa berikhtiar melakukan apa sahaja yang mampu demi kebaikan negara.
Anwar berkata ekosistem negara yang aman dan stabil dengan teknologi yang semakin berkembang, menjadikan negara mempunyai tarikan tersendiri sama ada ke arah kebaikan atau kemudaratan, termasuk penyeludupan dadah, arak, pemerdagangan manusia dan rokok yang dilarang.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata dengan penubuhan AKPS, kerajaan telah meletakkan tokoh berwibawa untuk mengetuainya.
Anwar dalam pada itu turut meluahkan kegusaran mengenai jumlah individu yang terjebak dengan dadah terutamanya melibatkan golongan anak muda Melayu.
“Jumlahnya sangat menakutkan, hilang produktiviti, lumpuh semangat. Dalam soal dadah ini kita kena buat sesuatu, anak-anak (terjebak) ratusan ribu, kelompok miskin, lemah pendidikan, masa depan porak-peranda sebab dadah,” kata beliau.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah