Bahasa : BM | EN

Pelan Subsidi RON95 Beri Manfaat Majoriti, Kurangkan Tekanan Inflasi - Bank Pelaburan

24/07/2025 04:08 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Pelan kerajaan untuk menurunkan harga petrol RON95 dilihat sebagai langkah positif untuk mengurangkan kos sara hidup dan menyokong penggunaan swasta dalam ketidaktentuan ekonomi global, menurut bank pelaburan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga RON95 akan ditetapkan pada RM1.99 seliter untuk pemegang MyKad, berkurangan daripada RM2.05 seliter pada masa ini, memberi manfaat kepada kira-kira 18 juta pengguna kereta dan motosikal.

Menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB), langkah ini akan membantu mengurangkan kos pengangkutan orang ramai dan mencerminkan komitmen pentadbiran untuk berkongsi hasil pertumbuhan ekonomi dengan rakyat, terutamanya dalam mendepani cabaran global yang berterusan.

“Penjimatan daripada pengurangan perbelanjaan bahan api, dengan pelonggaran dasar monetari baru-baru ini, boleh disalurkan semula untuk menyokong bidang penggunaan lain.

“Peruntukan subsidi yang tidak digunakan membolehkan kerajaan menurunkan harga RON95, yang dijangka berkuat kuasa pada akhir tahun ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

MBSB IB turut menjangka bahawa tiada pinjaman tambahan kerajaan diperlukan berikutan perbelanjaan fiskal tambahan akan ditampung oleh kutipan hasil yang tinggi dan penjimatan daripada peruntukan yang tidak digunakan.

“Penurunan harga petrol RON95 bersubsidi membawa implikasi kepada inflasi, menjejaskan bekalan dan dinamik permintaan. Langkah ini dijangka membantu mengurangkan tekanan inflasi, yang sebelum ini mewujudkan risiko penurunan kepada unjuran ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata pemindahan tunai RM100 untuk sekali sahaja, dengan harga petrol RON95 yang lebih rendah untuk majoriti rakyat Malaysia akan menyokong penggunaan swasta.

“Mengandaikan RM100 dibelanjakan untuk merealisasikan manfaat yang diharapkan, kami menganggarkan perbelanjaan sebanyak RM2 bilion boleh meningkatkan pertumbuhan penggunaan swasta kira-kira 0.2 mata peratusan,” katanya.

Mengenai potensi impak defisit fiskal, HLIB menganggarkan pemindahan tunai sebanyak RM2 bilion membawa kepada 0.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd berpendapat bahawa harga pam yang lebih rendah untuk orang ramai akan dibiayai dengan mengecualikan golongan berpendapatan tinggi dan warga asing daripada menerima subsidi serta mengurangkan penyeludupan RON95.

“Walaupun butiran tepat mengenai rasionalisasi subsidi RON95 hanya akan diumumkan pada 25 September, kami percaya ia mungkin tidak melibatkan golongan berpendapatan tinggi dan warga asing, yang akan dikehendaki membayar mengikut harga pasaran.

“Selain potensi pengurangan penyeludupan RON95, sama seperti yang berlaku apabila subsidi diesel disasarkan semula pada tahun lepas, kami percaya ini akan membantu membiayai penurunan harga pam untuk orang ramai,” katanya.

Mempunyai pandangan yang sama, Kenanga Investment Bank Bhd berkata harga pasaran semasa tanpa subsidi adalah kira-kira RM2.50 seliter, mewakili premium 22 peratus berbanding kadar yang dihadkan.

“Pada 2023 dan 2024, kerajaan membelanjakan kira-kira RM20 bilion setahun untuk subsidi RON95. Kerajaan boleh jimat sehingga RM8 bilion dengan mengecualikan golongan berpendapatan tinggi dan warga asing daripada menerima subsidi.

“Selain itu, kami mencadangkan, bagi mengekalkan ruang fiskal, kerajaan boleh memperkenalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas bahan api premium seperti RON97 untuk membantu mengimbangi kenaikan kos subsidi dan membiayai inisiatif pertumbuhan,” katanya.

-- BERNAMA

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami