Bahasa : BM | EN

Polis Kelantan Perketat Sempadan, Cegah Penyeludupan Lembu

15/05/2025 04:26 PM

KOTA BHARU, 15 Mei (Bernama) -- Polis Kelantan memperketat kawalan keselamatan di sempadan negeri bagi mengekang aktiviti penyeludupan lembu menjelang Hari Raya Aidiladha, susulan laporan kematian akibat jangkitan anthrax di Thailand awal bulan ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan pihak berkuasa sempadan bagi mengekang kemasukan haiwan ternakan secara haram ke negara ini.

“Kes kematian itu dikaitkan dengan penyembelihan dan pengambilan daging mentah di daerah Don Tan, Wilayah Mukdahan, Thailand yang bersempadan dengan Laos, berdasarkan laporan Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) Thailand.

“Polis Kelantan terus memperkukuh risikan, rondaan dan kolaborasi antara agensi bagi menjamin keselamatan negara dan membanteras penyeludupan,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini, hari ini.

Mohd Yusoff turut mengingatkan pengusaha dan penternak agar tidak terlibat dalam penyeludupan lembu menerusi laluan tikus, sebaliknya bagi tujuan membawa masuk lembu, mereka perlu menggunakan laluan sah di Kompleks ICQS untuk memastikan pemeriksaan kesihatan dijalankan dengan betul.

“Penyeludupan haiwan bukan sahaja menjejaskan industri ternakan tempatan, malah membawa risiko penularan penyakit berjangkit kepada manusia,” katanya.

Beliau berkata Mesyuarat Kumpulan Kerja Jawatankuasa Penyelarasan Keselamatan Sempadan Darat bersama Majlis Keselamatan Negara juga telah mengenal pasti keperluan meningkatkan pemantauan terhadap aktiviti penyeludupan haiwan.

Bagi tempoh 2024 hingga April lepas, 390 ekor lembu dan 25 kerbau berjaya dirampas, melibatkan nilai hampir RM4 juta menerusi 36 kes, dengan Pasukan Gerakan Am menjadi penyumbang utama rampasan, membabitkan jumlah tertinggi iaitu 584 ekor lembu.

Dalam tempoh Jan hingga April lepas, 229 ekor lembu dan 19 ekor kerbau dipercayai diseludup yang dianggar bernilai RM2.5 juta telah dirampas.

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 277920

Ikut Kami