Bahasa : BM | EN

Parlimen: Mindef rancang bina 10 pos imbangan tentera tahun depan - Hishammuddin

22/09/2021 03:27 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Kementerian Pertahanan (Mindef) merancang membina 10 Pos Imbangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tahun depan bagi mempertingkatkan kawalan di sempadan Sarawak-Kalimantan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pembinaan pos itu bertujuan mengimbangi pos kawalan Tentera Nasional Indonesia (TNI) serta memperkukuhkan lagi kawalan sempadan Sarawak-Kalimantan.

“ATM turut menjalin kerjasama dengan TNI di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan menerusi Operasi Gabungan bersama-sama Tentera Darat Malaysia (TDM) di enam pos gabungan,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata TDM turut melaksanakan pelbagai operasi bagi memperkukuhkan kawalan sempadan Malaysia-Thailand, antaranya Operasi Pagar Dua, Operasi Kota Bravo Charlie Delta, Operasi Kota Eko Foxtrot dan Operasi Merpati Sektor 8 Briged.

"ATM dalam pada itu turut bekerjasama rapat dengan Tentera Diraja Thai (RTA) melalui dua pos sempadan terkoordinasi selain merancang membuat rondaan bersama," katanya menjawab pertanyaan Datuk Che Abdulah Mat Nawi (PAS-Tumpat) berkenaan kawalan sempadan di Malaysia-Thailand.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kementeriannya turut membantu dalam usaha membendung aktiviti penyeludupan dan kemasukan pendatang tanpa izin selain menangani penyebaran wabak COVID-19 bersama pihak Kementerian Kesihatan (KKM)..

"ATM menerajui Op Benteng menerusi Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dan digerakkan bersama 19 agensi lain.

"Sehinga kelmarin, 15,582 pendatang tanpa izin dan 1,151 tekong ditahan manakala 2,268 pendatang tanpa izin diusir sementara 2,451 unit kenderaan darat serta 546 kapal dirampas,” katanya.

Mengenai usaha menangani wabak COVID-19, Hishammuddin berkata sejak awal pandemik melanda negara, ATM mengatur gerak 4,233 anggota bagi melaksanakan pelbagai bentuk pengoperasian serta terlibat dalam pembinaan hospital medan di negeri dan kawasan yang memerlukan.

ATM sedia membina lebih banyak hospital medan di negeri-negeri yang memerlukan dan hanya menunggu lampu hijau daripada Kementerian Kesihatan untuk diatur gerak, katanya.

-- BERNAMA

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami