Bahasa : BM | EN

JKDM perhebat operasi banteras aktiviti penyeludupan migran ketika pandemik

28/09/2021 02:23 PM

KUALA LUMPUR, 28 Sept -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan terus memperhebatkan operasi bagi membanteras aktiviti penyeludupan migran di negara ini yang dijangka meningkat walaupun masih dilanda pandemik COVID-19.

Penolong Kanan Pengarah Kastam (Bahagian Penguatkuasaan) Najmi Mohd Radzi berkata peningkatan itu berlaku susulan kadar vaksinasi dalam negara sudah melepasi 80 peratus dan sektor ekonomi sudah dibenarkan beroperasi.

Beliau berkata Malaysia merupakan negara destinasi kepada migran dari negara sumber. Walaupun Malaysia dan negara serantau masih dilanda pandemik COVID-19, kemasukan migran masih berterusan dan meningkat.

“Bagi membendung kegiatan penyeludupan migran, JKDM memperhebatkan operasi risikan ke atas anasir-anasir penyeludupan di kawasan pendaratan tumpuan secara bersepadu melalui kaedah rondaan di darat dan perairan.

“Sekatan jalan raya dan rondaan air dilakukan termasuk pemeriksaan ke atas kapal-kapal, bot, sampan dan tidak terkecuali juga sangkar-sangkar ikan. JKDM mempunyai 122 aset bot laju bagi melaksanakan tugas-tugas di perairan,” katanya semasa sesi wawancara di Bernama Radio secara langsung hari ini.

Najmi berkata perkongsian maklumat antara agensi menerusi mesyuarat berkala dengan penglibatan semua agensi penguatkuasaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Orang (ATIPSOM) serta maklumat diperoleh melalui perkongsian perisikan antara agensi dalam Operasi Benteng (Op Benteng) juga membantu pihaknya dalam menyekat kemasukan migran ke negara ini.

Menurutnya, berdasarkan statistik bagi tempoh 2019 hingga 2021, JKDM telah menahan 13 orang tekong dan 107 migran melibatkan warga Indonesia, Myanmar dan Thailand.

Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) telah menurunkan kedudukan Malaysia ke Tier 3 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2021 kerana tidak mematuhi standard minimum yang ditetapkan untuk membanteras pemerdagangan dan tidak menunjukkan sebarang usaha yang signifikan.

“Oleh yang demikian, bagi menyokong usaha-usaha kerajaan untuk menaikkan kembali nama Malaysia ke Tier yang lebih baik, JKDM komited untuk menjayakannya.

“Pegawai di lapangan dinasihatkan agar sentiasa melihat jika ada wujudnya indikator eksploitasi terutamanya buruh paksa semasa melakukan penahanan berkaitan kes kastam yang melibatkan pembabitan warga asing,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kaedah penyeludupan rokok tidak sah telah bertukar taktik daripada pelabuhan kepada penyeludupan melalui perairan negara dan kawasan pendaratan yang tidak diwartakan.

Jelasnya modus operandi penyeludupan barang dan migran hampir sama iaitu dengan melihat air pasang surut dan menggunakan bot-bot kecil bagi melakukan jenayah rentas sempadan ini.

-- BERNAMA

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami