Bahasa : BM | EN

Penginapan pekerja kondusif penting untuk pacu produktiviti, lonjak daya saing

28/09/2021 08:30 PM

KUALA LUMPUR, 28 Sept -- Penyediaan penginapan pekerja yang kondusif berperanan penting dalam memacu produktiviti, yang akhirnya melonjakkan daya saing kalangan pengeluar, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Norazman Ayob.

Menurut kenyataan MITI pada Selasa, ia disuarakan Norazman ketika berucap merasmikan webinar bertemakan ‘Penyediaan Penginapan Pekerja bagi Industri di bawah Sektor Pembuatan’ yang diadakan hari ini dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan PLANMalaysia.

Beliau juga berkata isu-isu berkaitan buruh paksa, penginapan dan pengurusan pekerja asing telah dibangkitkan oleh pelbagai pihak.

“Ketika negara sedang berusaha untuk bangkit semula dengan lebih teguh berlandaskan panduan Rancangan Malaysia Ke-12 bagi tempoh 2021 hingga 2025), penekanan terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) merupakan teras kepada pembangunan industri pembuatan Malaysia,” katanya.

MITI menjelaskan, beliau turut berkata penginapan pekerja, khususnya, adalah penting bagi elemen sosial dan tadbir urus.

Menurut MITI, Norazmann berkata kerajaan memberi perhatian kepada isu terbabit secara serius.

“Kita menggesa dan menekankan supaya pihak industri, terutama yang menggaji pekerja asing, supaya mematuhi undang-undang buruh dan mengekalkan piawaian yang diperlukan dari segi perumahan dan kemudahan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, MITI turut membuat gesaan kepada peserta industri semasa webinar tersebut berlangsung supaya mengamalkan langkah pengambilan pekerja yang beretika secara serius untuk mengelakkan amalan salah buruh paksa yang boleh menjejaskan kemampanan perniagaan mereka.

Sejak tahun lepas, pandemik COVID-19 telah menjadi pemangkin bagi pengenalan pendekatan dasar yang lebih luas untuk melindungi pekerja asing di negara ini, jelas MITI.

MITI menambah, pada Februari 2021, kerajaan Malaysia mengumumkan pemberian vaksin COVID-19 secara percuma kepada semua pekerja asing di negara ini melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Dalam pada itu, webinar tersebut dianjurkan bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pembuat dan pengilang mengenai isu penginapan pekerja.

Ia dihadiri oleh 630 peserta daripada syarikat pembuatan dalam pelbagai sektor di Malaysia, serta persatuan-persatuan industri dan dewan-dewan perniagaan asing, jelas MITI.

MITI menambah, program itu membantu syarikat untuk lebih memahami langkah-langkah yang diperlukan dalam menyediakan tempat tinggal yang selamat dan kondusif untuk pekerja mereka.

“Ini termasuk garis panduan prosedur permohonan bagi penyediaan Kuaters Pekerja Jangka Pendek serta Kuarters Pekerja Berpusat, sejajar dengan keperluan berdasarkan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019,” jelas kementerian itu.

-- BERNAMA

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami