Bahasa : BM | EN

362 mangsa pemerdagangan diselamatkan - Bukit Aman

21/09/2021 05:41 PM

KUALA LUMPUR, 21 Sept  -- Dalam tempoh dari Januari hingga Ogos lepas, 362 mangsa pemerdagangan orang berjaya diselamatkan menerusi 77 serbuan oleh pihak berkuasa, menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Supt Koordinasi/Siasatan/Hubungan Antarabangsa Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (D3) Ibu pejabat Polis Bukit Aman Supt Hazril Kamis berkata pada masa yang sama 163 ahli sindiket ditahan.

Beliau berkata kebanyakan yang diselamatkan terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia serta India, dan menurutnya 95 daripada mereka telah memperoleh Perintah Perlindungan (PO).

“Mangsa dipergunakan bagi tujuan dijadikan buruh paksa sementara dan pengeksploitasian seks, yang mampu mengaut keuntungan besar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Bagaimanapun menurutnya kes berkaitan aktiviti pemerdagangan dan penyeludupan orang ketika ini mencatatkan penurunan susulan keberkesanan kerjasama berterusan pelbagai agensi dan anggota keselamatan itu. 

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah antara faktor utama kes berkenaan menurun, namun PDRM kekal komited dengan pelaksanaan usaha bagi mengesan sebarang kewujudan unsur aktiviti pemerdagangan itu menerusi operasi bersepadu yang diadakan,” katanya. 

Hazril berkata pada tahun lepas 146 kes pemerdagangan manusia direkodkan melibatkan 243 ahli sindiket ditangkap. 

Beliau berkata PDRM dalam masa sama memberi tumpuan untuk meningkatkan tindakan di bawah jenayah terancang ke atas sindiket pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

“Kami tidak mahu apabila pelbagai serbuan dan tangkapan dibuat, namun akhirnya (ahli sindiket ini) dibebaskan dengan jaminan,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami