Bahasa : BM | EN

Malaysia komited perangi jenayah pemerdagangan orang

29/07/2021 07:35 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai  -- Malaysia kekal komited dalam menangani dan memerangi jenayah pemerdagangan orang meskipun diturunkan ke Tahap Tiga laporan Pemerdagangan Orang (TIP) Amerika Syarikat (AS) tahun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Mohammad Fauzi Md Isa berkata, laporan itu menjadi peringatan kepada kementerian dan semua pihak berkepentingan lain supaya bekerja lebih baik serta memperbetulkan tumpuan dan keutamaan dalam segala tindakan bagi memerangi pemerdagangan orang. 

“Malangnya Malaysia tidak mendapat markah yang baik dalam laporan TIP itu. Bagaimanapun ia tidak seharusnya menjejaskan semangat kita untuk melakukan yang lebih baik untuk tempoh laporan akan datang kerana komitmen kita dalam memerangi jenayah ini, masih kekal utuh,” katanya ketika pelancaran program rogram Anti-Trafficking Capacity Building for Impact (CBI) secara dalam talian bersama Duta AS ke Malaysia Brian D. McFeeters, di sini, Khamis.

Mohamad Fauzi berkata, kerjasama antara semua pihak yang berkepentingan termasuk  pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan badan bukan kerajaan (NGO) menjadi lebih penting dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang kerana pandemik COVID-19  jelas memburukkan lagi keadaan selain menyaksikan golongan berisiko lebih mudah dieksploitasi.

Program 18 bulan itu dianjurkan oleh NGO-ENGENDER Consultancy dan Project Liber8. Ia bertujuan bertujuan membangunkan jaringan organisasi yang lebih kukuh melalui pembelajaran dan tindakan kolektif yang akan bertindak sebagai pemangkin dalam mempercepat pelaksanaan Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang 2021-2025 (NAPTIP 3.0) yang dilancarkan pada Mac 2021, serta menggerakkan pendekatan seluruh negara untuk memerangi pemerdagangan orang. 

Program ini, disokong Kedutaan AS di Malaysia, merangkumi siri 20 bengkel latihan peringkat kebangsaan dan konsultasi perundangan untuk organisasi dan aktivis anti-pemerdagangan manusia.

Bengkel ini akan merangkumi 4P dalam aspek pemerdagangan manusia - Pencegahan, Perlindungan, Pendakwaan dan Perkongsian - dengan sesi pertama adalah berkaitan isu  Pencegahan Pemerdagangan Manusia, dijadualkan 5 Ogos.

Modul program merangkumi latihan kemahiran mengenai undang-undang strategik, pindaan,  pemantauan dan pelaporan masalah TIP, serta mengenal pasti mangsa serta kaedah memberikan bantuan.

Program ini juga membabitkan acara turun padang di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Kota Kinabalu bagi membina kesedaran dari akar umbi mengenai TIP, memupuk pemahaman yang lebih empati mengenai isu-isu yang berkaitan, dan mendidik masyarakat.

Sementara itu, McFeeters berkata AS komited untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk melaksana pendekatan menyeluruh dalam kalangan masyarakat bagi memerangi pemerdagangan orang menerusi kerjasama kerajaan dan organisasi tempatan.

AS juga bersedia untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam memerangi jenayah ini, tambahnya.

Beliau menyatakan, sejumlah kes di AS menunjukkan betapa kerjasama CSO yang kukuh dengan profesional dan pendakwa raya, berjaya memerangi pemerdagangan orang.

-- BERNAMA

 

 


 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami