Bahasa : BM | EN

Seramai 65 pendatang tanpa izin ditahan di Ranau

17/07/2021 07:36 PM

RANAU, 17 Julai -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 65 pendatang tanpa izin (PTI) dalam Operasi Patuh Bersepadu di 10 lokasi di daerah ini malam tadi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II Jonathan Yasin, dalam kenyataan hari ini, berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 28 orang lelaki dewasa, perempuan dewasa (15), kanak-kanak lelaki (11) dan 11 kanak-kanak perempuan (11), dalam operasi yang dilaksanakan berdasarkan aduan awam.

Katanya mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 melibatkan Seksyen 6(1)(c) masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pasport atau pas sah; Seksyen 15(1)(c) tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas; dan Seksyen 56(1)(l) menggunakan dan memiliki apa-apa permit masuk, pas, dokumen perjalanan dalam negeri atau perakuan palsu.

"Seramai 67 pegawai Imigresen, 27 anggota  Jabatan Sukarelawan Malaysia dan empat anggota  Angkatan Pertahanan Awam terlibat dalam operasi tersebut dan seramai 173 orang telah diperiksa.

"Tumpuan Operasi Bersepadu turut menjurus kepada majikan yang disyaki melindungi serta mengambil pekerja dalam kalangan PTI serta sindiket yang membawa masuk PTI ke negara ini.

“Tindakan akan diambil selaras dengan undang-undang tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah," katanya.

Jonathan berkata kesemua tahanan akan menjalani proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan COVID-19 bagi suatu tempoh yang ditetapkan bagi memastikan tiada penularan jangkitan pandemik itu sebelum dihantar ke depot Imigresen.

Beliau berkata sebanyak 601 operasi telah dijalankan oleh JIM Sabah sepanjang tahun ini dengan penahanan keseluruhan 1,061 PTI manakala 34 orang majikan didakwa dan 1,739 orang tahanan warga asing telah diusir ke negara asal.

-- BERNAMA

 

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami