Bahasa : BM | EN

Imigresen Perak tahan 27 warga asing dipercayai tiada dokumen perjalanan sah

16/07/2021 02:16 PM

IPOH, 16 Julai  -- Seramai 27 lelaki warga asing dipercayai tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah ditahan Jabatan Imigresen Negeri Perak dalam empat serbuan menerusi Op Patuh, di sini, semalam.

Pengarah Imigresen Perak Hapdzan Husaini berkata operasi bermula 9.30 pagi hingga 2 petang di tiga kilang di Bandar Lahat Baru, Pinji Estate dan Kawasan Perindustrian Pengkalan II Pusing serta sebuah restoran di Bandar Sri Pengkalan, Pusing itu dilakukan berdasarkan maklumat awam dan risikan pihaknya.

Beliau berkata seramai 74 warga asing diperiksa dalam operasi itu dan daripada 27 yang ditahan, kesemuanya terdiri daripada 18 warganegara Bangladesh, empat warganegara Indonesia dan Myanmar serta seorang Pakistan, kesemuanya berusia 30 hingga 52 tahun.

“Serbuan ke atas sebuah kilang percetakan di Kawasan Perindustrian Pengkalan II Pusing itu dilakukan selepas disyaki menggaji warga asing tanpa pas yang sah. Semasa kehadiran pegawai operasi, mereka (warga asing) lari bertempiaran hingga ada yang sanggup menggadai nyawa dengan memanjat pagar zink yang tajam di belakang premis terbabit. 

“Kecekapan pegawai operasi yang bertindak mengepung kawasan kilang berkeluasan padang bola itu telah berjaya menahan lima pekerja warganegara Myanmar dan Bangladesh berumur 30 hingga 35 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hapdzan berkata Op Patuh itu melibatkan seramai 30 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak.

Beliau berkata kesemua warga asing itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963  kerana melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah. 

-- BERNAMA

 

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami