PUTRAJAYA,11 Julai -- Seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai dijadikan buruh paksa oleh majikannya diselamatkan dalam satu operasi melibatkan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK), PasukanTindakan Majlis Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) dan polis, di Taiping, Perak pada Jumaat lepas.
Menurut Kementerian Sumber Manusia (KSM) hari ini, operasi menyelamat pukul 6.30 pagi itu dilakukan susulan aduan dan maklumat pihak Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur pada Rabu lalu.
KSM dalam kenyataan berkata majikan dikatakan mengambil kesempatan dengan memanipulasi pekerja tersebut yang tidak mempunyai permit kerja dan dikategorikan sebagai pendatang tanpa izin.
“Majikan menjadikan isu pendatang tanpa izin sebagai ugutan untuk memaksa mangsa melakukan pelbagai kerja rumah dengan tekanan fizikal dan mental,” katanya.
Menurut KSM, wanita berkenaan dibawa masuk ke Malaysia oleh seorang ejen yang memaklumkan bahawa beliau akan bekerja sebagai pembantu rumah dan dijanjikan gaji sebanyak RM1,000.
-- LAGI
KSM-BURUH PAKSA 2 (AKHIR) PUTRAJAYA
Mangsa telah diminta membayar sebanyak tiga bulan gaji sebagai bayaran perkhidmatan kepada ejen selepas mendapat pekerjaan dan bayaran tersebut telah dilunaskan melalui potongan gaji mangsa, katanya.
Menurut KSM, wanita berumur 36 tahun itu juga pernah dipukul dengan tangan oleh majikan kerana tidak berpuas hati dengan kerja dilakukan dan tidak diberi makan sekiranya menyuarakan hasrat untuk kembali ke negara asal ataupun tidak mahu bekerja lagi.
“Malah, gaji mangsa kerap dibayar lewat dan pernah terjadi wang gaji yang telah diserahkan ke tangan diambil semula oleh majikan,” katanya.
KSM berkata siasatan awal mendapati terdapat indikator buruh paksa yang telah dilakukan terhadap mangsa dan majikan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
KSM berkata mangsa yang masih dalam keadaan trauma kini ditempatkan di Rumah Perlindungan Zon Tengah selepas diberikan Perintah Perlindungan Interim (IPO) oleh Mahkamah Magistret Taiping pada tarikh sama mangsa diselamatkan.
IPO tersebut sah untuk tempoh 21 hari iaitu sehingga 30 Julai ini bagi melengkapkan kertas siasatan JTK di bawah Akta ATIPSOM 2007 untuk dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi semakan dan membuat keputusan.
-- BERNAMA
TAG: KSM, wanita, Indonesia, majikan, selamat
MASM LES SZJ DC
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah