Bahasa : BM | EN

Op Patuh: 72 warga asing ditahan di Pudu

04/07/2021 01:39 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai-- Seramai 72 warga asing ditahan dalam serbuan Op Patuh  Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah bangunan di Pudu di sini petang semalam.

Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata dalam serbuan yang bermula pada 5 petang itu, seramai 245 individu diperiksa dengan 43 lelaki dan 29 wanita pelbagai warganegara berumur antara 25 hingga 50 tahun ditahan, kerana melakukan pelbagai kesalahan imigresen seperti tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Beliau berkata pihaknya mendapati bangunan yang juga dipercayai sarang pelacuran itu berada dalam keadaan sangat kotor, berbau busuk dan tidak teratur, manakala kemudahan awam seperti lif, lampu tangga dan koridor tidak berfungsi dengan sempurna.

“Semasa operasi dijalankan, anggota penguat kuasa terpaksa memecahkan pintu kerana penghuni di kebanyakan rumah yang diperiksa tidak memberikan kerjasama dan menyorok di dalam rumah dengan mematikan lampu.

“Terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dan menyorok di ruang-ruang dinding yang telah diubah suai namun semua cubaan ini berjaya dikesan dan digagalkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil selepas menjalani ujian saringan COVID-19 dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami