Bahasa : BM | EN

Op Patuh: 229 warga asing ditahan Imigresen

30/06/2021 08:29 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun -- Jabatan Imigresen menahan seramai 229 warga asing dalam Operasi Patuh (Op Patuh) di sebuah kilang pelupusan besi di Meru, Klang, dekat sini, pagi tadi.

Kesemua mereka yang ditahan berumur lingkungan 22 hingga 45 tahun itu terdiri daripada 99 warga India, Bangladesh (88), Pakistan (33), Myanmar (lima), Indonesia (tiga) dan seorang warga Nepal.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pemeriksaan lanjut di lokasi kilang berkenaan mendapati premis itu melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara.

Beliau berkata premis itu melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen iaitu menggunakan tenaga kerja warga asing yang tiada dokumen dan tinggal lebih masa.

“Antara kesalahan dikenal pasti ialah pekerja warga asing tidak memiliki dokumen perjalanan sah selain menyalahgunakan pas dan tinggal lebih masa.

“Selain itu, kilang itu turut dikompaun polis sebanyak RM10,000 kerana melanggar SOP kawalan pergerakan dan dikompaun oleh Jabatan Tenaga Kerja sebanyak RM20,000 kerana gagal mematuhi SOP pengurusan tempat kerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Khairul Dzaimee, kesemua tahanan dibawa menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, dekat sini, untuk siasatan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

-- BERNAMA

 

 

 


 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami