Bahasa : BM | EN

PDRM sasar capai Tier 1 atau 2

28/06/2021 09:22 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun  -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyasarkan untuk mencapai kedudukan Tier 1 atau Tier 2 dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran dalam laporan Trafficking In Persons Report yang dikeluarkan United State (US) Department of State.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hasan berkata usaha untuk mencapai sasaran itu akan dilakukan PDRM bersama agensi di bawah Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO).

“Memang kita (berusaha) nak letakkan usaha kita di Tier 2 (atau) Tier 1 seperti Singapura dan Filipina. Kita telah mencapai Tier 2 sebelum ini (tahun 2017) dan kita akan memastikan usaha (terbaik) bersama agensi di bawah MAPO, tahun lepas (2020) kita diletakkan di Tier 2 Watch List,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) JSJ dan Bahagian D7 Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap JSJ di Menara KPJ, di sini hari ini.

Pada Jun tahun lepas, Jabatan Negara Amerika dalam laporan berkaitan kegiatan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran serta kedudukan setiap negara dalam usaha membanteras jenayah itu meletakkan Malaysia di kedudukan Tier 2 Watch List.

Laporan itu menyatakan Malaysia berada di kedudukan berkenaan kerana tidak memenuhi standard minimum bagi memerangi jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran, namun usaha yang signifikan oleh negara berkenaan tetap dilaksanakan.

Dalam perkembangan lain, Abd Jalil berkata jenayah bagi kes bunuh sepanjang Januari hingga 31 Mei tahun ini meningkat berbanding tempoh sama tahun lepas manakala kes samun meningkat sebanyak 10.36 peratus iaitu 2,824 kes tahun ini berbanding 2,559 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

“Sebanyak 109 kes bunuh dicatatkan dalam tempoh itu tahun lepas berbanding 113 kes tahun ini,” katanya.

Sementara itu PDRM akan membuat permohonan semula kepada Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengeluarkan notis merah terhadap seorang rakyat Malaysia di Jerman yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes kenyataan berbaur hasutan, perkauman serta jelik terhadap Institusi Diraja dan kerajaan di media sosial baru-baru ini.

Abd Jalil berkata permohonan PDRM kepada Interpol pada 22 Dis lepas ditolak atas alasan Artikel 3 Perlembagaan dan Peraturan Interpol yang menyatakan bahawa organisasi dilarang campur tangan berkaitan watak politik, agama dan kaum dalam mengeluarkan sesuatu notis merah terhadap individu yang dikehendaki pihak berkuasa sesebuah negara.

Pada 26 Jun lepas, media melaporkan polis mencari seorang lelaki  berusia 39 tahun yang dipercayai berada di Jerman bagi membantu siasatan berhubung satu kenyataan yang tular di media sosial yang dilihat mampu menyebabkan kegentaran awam serta menggugat keamanan negara.

Kes itu dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), JSJ selepas satu rakaman video bertajuk ‘Racist in Vacine Malaysia’ dimuat naik di laman Facebook milik lelaki terbabit.

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami