Bahasa : BM | EN

Kegiatan palsu dokumen tumpas, warga Myanmar dikenali 'rockers' diberkas

28/06/2021 05:15 PM

PUTRAJAYA, 28 Jun -- Jabatan Imigresen menahan seorang warga Myanmar yang dikenali dengan nama panggilan 'Rockers' Sabtu lepas, yang dipercayai aktif dalam kegiatan pemalsuan pelbagai dokumen rasmi di sekitar Kuala Lumpur sejak empat tahun lepas.

Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pemegang sah Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang yang telah berkahwin dengan rakyat tempatan itu ditahan ketika sedang menunggu pelanggan di dalam kereta bagi urusan penyerahan dokumen, berhampiran Plaza Kota Raya di ibu negara.

Beliau berkata lelaki berumur 38 tahun itu mempunyai kemahiran tinggi dalam pemalsuan dokumen yang mempunyai ciri-ciri keselamatan kerana mampu menghasilkan passport yang mempunyai ciri-ciri ketulenan antara 50 dan 60 peratus.

"Suspek dipercayai menjalankan sindiket pemalsuan dokumen ini secara bersendirian dengan pelanggannya terdiri daripada warga asing terutama dari Bangladesh dan Myanmar," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Katanya suspek menyewa dua unit kondominium mewah bagi tujuan mengelirukan pihak berkuasa, dengan satu unit dijadikan tempat kediaman manakala satu lagi dijadikan markas pemalsuan dokumen.

Khairul Dzaimee berkata susulan penahanan, suspek membawa pasukan operasi ke sebuah kondominium mewah di Bandar Tasik Selatan, Cheras yang dijadikannya sebagai markas untuk mencetak dan mengeluarkan pelbagai dokumen palsu.

Beliau berkata pasukan operasi menemui satu unit komputer, sembilan mesin pencetak, dua mesin ‘laminate’, satu mesin mengukir nombor, tiga papan pemotong, satu mesin pengimbas dan beberapa peralatan lain untuk tujuan menghasilkan dokumen palsu di premis berkenaan.

Turut dirampas ialah pelbagai jenis dokumen palsu antaranya i-kad, kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), pasport pelbagai negara seperti India, Indonesia dan Amerika Syarikat, sijil perkahwinan negara asing, sijil kelahiran Myanmar, lesen memandu antarabangsa, cop Keluar/Masuk pelbagai negara dan wang tunai RM15,300.

Khairul Dzaimee berkata suspek yang telah menetap di Malaysia sejak 2016,  menggunakan aplikasi WhatsApp, Viber, Wechat dan Telegram sebagai cara untuk mencari pelanggan dan berjumpa sendiri dengan pelanggan bagi tujuan transaksi.

“Kadar bayaran yang dikenakan kepada pelanggan ialah antara RM300 dan RM1,000 bagi sekeping pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara, RM200 pakej Cap Keluar/Masuk pelbagai negara, RM500 bagi senaskah pasport pelbagai negara, dan masing-masing RM100 bagi sekeping i-kad, sekeping kad UNHCR, sekeping Sijil Kelahiran Myanmar, sijil perkahwinan Myanmar dan sekeping lesen memandu antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata suspek boleh memperoleh pendapatan sekitar RM18,000 sebulan hasil kegiatan itu.

Menurutnya lelaki berkenaan ditahan reman selama 14 hari sejak Sabtu lepas dan akan disiasat di bawah Seksyen 55 (D) Akta Imigresen 1959/63 berhubung kesalahan membuat, memalsukan atau meminda suatu pengendorsan atau suatu dokumen untuk digunakan sebagai suatu visa, permit, pas atau kelayakan.

"Selepas melalui proses undang-undang, pas suspek akan dibatalkan, diusir keluar dari Malaysia dan dikategorikan sebagai imigran larangan di bawah Seksyen 9 Akta Imigresen serta dilarang memasuki Malaysia sepanjang hayat," kata Khairul Dzaimee.

-- BERNAMA

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami