Bahasa : BM | EN

Tahan tiga individu, tumpas sindiket pelacuran online

21/04/2021 12:25 PM

GEORGE TOWN, 21 April  -- Polis Pulau Pinang menahan tiga individu termasuk seorang wanita dan berjaya menumpaskan sindiket pelacuran dalam talian (online), dalam serbuan di sebuah hotel di George Town, di sini pada Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC Rahimi Mohd Ra'ais berkata pihaknya menjalankan serbuan di hotel itu pada 11.35 malam, hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan pihaknya sejak seminggu lepas.

"Dalam serbuan itu, polis menahan dua lelaki berusia 36 dan 37 tahun serta seorang wanita berumur 31 tahun, dipercayai mereka merupakan sindiket pelacuran yang menawarkan khidmat seks menerusi online dan aktif menjalankan kegiatan tersebut sejak beberapa bulan lepas.

"Menerusi operasi itu juga, polis berjaya menyelamatkan dua wanita warga asing yang dijadikan mangsa pelacuran sindiket berkenaan, seorang diselamatkan di sebuah hotel di kawasan George Town manakala seorang lagi di sebuah kondominium di kawasan Batu Ferringhi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rahimi berkata sindiket itu menyasarkan pelanggan warga tempatan dan asing serta siasatan juga mendapati mereka mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit sebulan hasil daripada memperdagangkan manusia melalui aktiviti pelacuran tersebut.

"Tiga individu yang ditahan itu direman untuk siasatan lanjut dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada orang ramai agar tidak terlibat dengan sindiket pelacuran atau melanggan pelacur kerana aktiviti tersebut akan meningkatkan risiko penularan COVID-19 secara tidak langsung dan polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.

-- BERNAMA 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami