Bahasa : BM | EN

Polis tahan wanita disyaki dera pembantu rumah

20/04/2021 06:22 PM

KUALA LUMPUR, 20 April -- Seorang wanita dan pembantu rumahnya ditahan di sebuah rumah di Taman Rainbow, Sentul awal pagi tadi kerana disyaki mendera seorang lagi pembantu rumah warga Indonesia berusia 24 tahun.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata majikan berusia 42 tahun dan pembantu rumahnya, 38, juga warga Indonesia itu ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian D3 Anti Pemerdagang dan Anti Penyeludupan Migran Bukit kira-kira pukul 1.30 pagi.

“Semasa serbuan beberapa alat seperti rotan, kayu dan besi yang dipercayai telah digunakan untuk mendera turut dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati mangsa mengalami kesan kecederaan dan lebam pada bahagian muka, kepala, bahu, leher serta kaki; dan mangsa yang bekerja dengan majikannya itu selama 16 bulan, sudah setahun tidak dibayar gaji.  

“Mangsa dipercayai didera akibat daripada kesalahan yang dilakukan semasa menjalankan tugasan harian,” katanya.

Beh berkata perintah perlindungan sementara (Interim Protection Order) telah dipohon di mahkamah dan mangsa kini ditempatkan di Rumah Perlindungan Wanita di Damansara manakala kedua-dua suspek direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 24 April depan bagi siasatan lanjut.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12 dan 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2017 (Akta 670) kerana perdagang manusia.

-- BERNAMA


 

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami