Bahasa : BM | EN

Imigresen hantar pulang lebih 6,000 pendatang tanpa izin sejak 1 Jan 2021

06/04/2021 04:49 PM

KUANTAN, 6 April -- Jabatan Imigresen telah menghantar pulang seramai 6,013 pendatang tanpa izin ke negara asal dalam tempoh tiga bulan bermula Januari lepas, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.

Beliau berkata langkah itu membolehkan kerajaan melakukan penjimatan perbelanjaan yang melibatkan kos hampir RM100 sehari bagi menanggung seorang pendatang tanpa izin di negara ini.

“Ini tidak termasuk kos bagi menghantar pulang mereka… dengan penghantaran pulang ini, kita berjaya selamatkan duit kerajaan. Setakat ini, masih ada kira-kira 18,694 pendatang lagi di depot tahanan kita.

“Selain itu, seramai 3,581 pendatang tanpa izin telah ditahan bermula 1 Jan hingga Ahad lepas dengan 285 daripada jumlah itu melibatkan tangkapan di Pahang,” katanya ketika berucap sempena Program Malaysia Prihatin Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini. 

Turut hadir Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan dan Pengarah Imigresen Pahang Muhammad Hatta Kassim. 

Ismail juga berkata setakat 21 Mac lepas, sejumlah 82,340 petugas barisan hadapan agensi dan jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri sudah menerima vaksin.

Beliau turut memaklumkan kadar pematuhan prosedur operasi standard COVID-19 yang dicatatkan di Pahang ialah 95 peratus. 

  -- BERNAMA

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami