Bahasa : BM | EN

Terima rasuah, pegawai Imigresen dipenjara 10 hari, denda RM10,000

17/03/2021 04:03 PM

SEREMBAN, 17 Mac -- Seorang pegawai Imigresen dipenjara 10 hari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah bagi melepaskan warga asing, dua tahun lepas.

Hakim Madihah Harullah memerintahkan Mohamad Jeffry Mohd Zain, 31, menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini dan tambahan penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Jeffry yang ketika itu bertugas di Bahagian Kawalan Imigresen, Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang, didakwa diberikan wang berjumlah RM3,950 daripada orang tengah yang menguruskan warga asing dari China ke dalam akaun pihak ketiga melalui mesin deposit tunai.

Wang itu bertujuan melepaskan warga asing berkenaan daripada dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Islamic Bank Berhad Cawangan Nilai pada 3 Jan 2019.

Pendakwaan mengikut Seksyen 25 (1) dan 25 (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah juga membenarkan permohonan SPRM untuk melucut hak dua kereta dan dua buah motosikal selain wang tunai berjumlah keseluruhan RM449,658.41 milik Mohamad Jeffry.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, Mohamad Jeffry yang ditugaskan memeriksa penumpang melalui kaunter Imigresen klia2, dikatakan menerima RM250 hingga RM600 bagi setiap warga asing bermasalah yang dilepaskan dan seramai 500 warga China dilepaskan tertuduh sejak 2016 hingga November 2019.

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami