Bahasa : BM | EN

205 warga asing ditahan dalam operasi Imigresen di pangsapuri

06/03/2021 10:22 AM

KUALA LUMPUR, 6 Mac -- Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur  menahan 205 warga asing dalam satu operasi di sebuah pangsapuri di Pudu malam tadi, kebanyakannya atas kesalahan tinggal lebih masa dan tiada dokumen perjalanan, atau dokumen pekerjaan.

Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur Hamidi Adam berkata serbuan dilakukan pada pukul 11.30 malam ekoran aduan penduduk setempat yang memaklumkan banyak unit kediaman di situ didiami warga asing dalam keadaan bersesak-sesak. 

Beliau berkata serbuan disertai 92 anggota dan pegawai JIM  Kuala Lumpur dengan kerjasama tujuh  pegawai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan 18 anggota dan pegawai peguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Seramai 425 warga asing yang tinggal di pangsapuri berkenaan diperiksa dan daripada jumlah itu 203 lelaki dan dua wanita ditahan atas pelbagai kesalahan, (antaranya) di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya pada pemberita ketika ditemui selepas operasi di Pangsapuri Ixora, di sini tengah malam tadi.

Menurutnya mereka yang ditahan berumur lingkungan 20 hingga 49 tahun, terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar serta Nepal, dengan ramai dalam kalangan mereka berkerja di tapak pembinaan di sekitar kawasan itu. 

Sementara itu merujuk kepada aduan penduduk pula, Hamidi berkata siasatan mendapati kebanyakan pekerja asing  itu tinggal dalam keadaan selesa dengan hanya dua atau tiga orang berkongsi satu bilik, dan tidak bersesak-sesak seperti dilaporkan.

Beliau berkata kesemua yang ditahan kemudiannya dibawa ke JIM di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tujuan dokumentasi lanjut. 

-- BERNAMA


 


 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami