Bahasa : BM | EN

Orang awam sebagai pegawai pelindung antara pindaan ATIPSOM

24/02/2021 11:53 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb  --  Melantik  pegawai pelindung dalam kalangan orang awam adalah antara pindaan yang akan dilakukan terhadap   Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Pengarah Bahagian Perintah Khidmat Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Ahmad Hashim Selamat berkata perancangan untuk meminda akta tersebut sepatutnya dilakukan tahun lepas namun tertangguh akibat pandemik COVID-19, dan berkemungkinan dibawa pada tahun ini.

Beliau berkata selain itu, pindaan turut membabitkan penambahbaikan peranan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta aspek pengoperasian rumah perlindungan bagi mangsa pemerdagangan.

Pada masa ini, pegawai pelindung di bawah ATIPSOM dilantik dalam kalangan pegawai awam, katanya dalam program Ruang Bicara yang disiarkan  Bernama TV, di sini.

Menurutnya proses pindaan itu melibatkan beberapa pihak termasuk Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran serta Kementerian Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat selain jabatan-jabatan berkaitan.  

Mengenai Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) yang meletakkan Malaysia dalam Tier 2 Watch List pada 2020, beliau berkata pelbagai penambahbaikan sedang dilakukan untuk mengubah kedudukan itu.

Menurutnya antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah memberikan pemeriksaan kesihatan yang mencukupi kepada mangsa pemerdagangan, khidmat  penterjemahan untuk mangsa serta meningkatkan kolaborasi dengan badan bukan kerajaan.

“Malaysia sudah tiga tahun berturut-turut diletakkan di kedudukan Tier 2 dan kita amat berharap ia dapat dipertingkatkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa JKM Rosmaini Ahmad pula berkata antara langkah yang dilakukan untuk meningkatkan kedudukan Malaysia ialah memberikan kemahiran kepada mangsa bagi membolehkan mereka menjana pendapatan.

“Contohnya seperti membaiki alat elektronik, kemahiran ini boleh digunakan ketika di sini dan ia boleh dimanfaatkan apabila mereka pulang ke negara asal,” katanya.

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami