PUTRAJAYA, 11 Feb -- Jabatan Imigresen (JIM) menyerbu dua pusat urut yang menyediakan khidmat pelacuran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Bandar Puteri Puchong, Selangor semalam, serta menahan 14 warga asing dan seorang warga tempatan dalam operasi itu.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dua premis tiga tingkat yang tidak mempunyai sebarang papan tanda itu, diserbu secara serentak pada kira-kira 4.30 petang.
Menurutnya, modus operandi perkhidmatan itu ialah menggunakan aplikasi Telegram sebagai medium, dan turut dijumpai dalam serbuan itu ialah sebuah telefon bimbit, yang dipercayai digunakan untuk dihubungi oleh pelanggan untuk mendapatkan perkhidmatan di premis tersebut, yang disembunyikan di atas siling tandas.
“Hasil risikan mendapati premis itu dikunjungi para pelanggan warga tempatan, yang melanggan pakej perkhidmatan seks yang ditawarkan berharga di antara RM180 hingga RM225 bagi satu pakej,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semasa serbuan katanya, kedua-dua pintu premis terpaksa dipecahkan kerana tidak mendapat kerjasama dari penghuni premis itu untuk membuka pintu tersebut, dan cubaan untuk meloloskan diri berjaya digagalkan.
Mereka yang ditahan dalam serbuan itu terdiri daripada 11 wanita warga Vietnam, tiga lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki tempatan, yang merupakan penjaga salah satu premis tersebut.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap premis mendapati, aras dua premis dijadikan tempat menunggu oleh pelanggan yang datang, dan juga dijadikan tempat tinggal wanita warga asing tersebut, manakala kegiatan urut dan pelacuran dijalankan di aras tiga.
Khairul Dzaimee berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, katanya.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah