Bahasa : BM | EN

APMM usir 145 bot nelayan Indonesia dari perairan Perak

23/10/2020 03:01 PM

LUMUT, 23 Okt -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mengusir hampir 145 bot nelayan Indonesia yang memasuki perairan negeri Perak sepanjang Op Benteng bermula Mei lepas sehingga hari ini.

Pengarah APMM Perak Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata kesemua bot nelayan itu diusir melalui 52 penugasan pengusiran bagi menghalang bot warga asing daripada terus memasuki perairan negara untuk menangkap ikan.

“Kapal kita sentiasa melakukan penugasan secara berkala bagi menghidu aktiviti bot nelayan asing di kawasan perairan negara. Sebuah bot pemintas turut diletakkan di jeti supaya dapat digerakkan sekiranya terdapat aduan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah tugas Pegawai Memerintah bagi Kapal Maritim (KM) Rawa, KM Tugau dan KM Nyalau di sini, hari ini. 

Shahrizan berkata sepanjang Op Benteng, pihaknya telah menjalankan sebanyak 9,352 pemeriksaan dengan 882 penggeledahan ke atas bot dan kapal di perairan negeri Perak.

Katanya, sebanyak 83 kesalahan berjaya dikesan dengan 80 peratus daripadanya melibatkan kes perikanan seperti melanggar syarat sah lesen selain turut membabitkan kapal dagang dan kapal kargo serta penumpang.

Terdahulu, pada majlis itu, Lt Komander Fadzliana Fadzil dilantik sebagai pegawai memerintah KM Tugau menggantikan Lt Komander Maritim Mohd Badri Barid Abdullah yang bertukar sebagai pegawai memerintah KM Rawa.

Sementara itu, Lt Maritim Nurul Hanin Mohd Isa dilantik sebagai pegawai memerintah KM Nyalau menggantikan Lt Komander Maritim Aida Arzahari yang bertukar ke ibu pejabat APMM di Putrajaya.

-- BERNAMA

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami