Cuba imbau kembali detik 1 Januari yang lalu. Dengan penuh semangat, anda memuat naik status di media sosial: “New Year, New Me!” Azamnya gah, mahu simpan RM10,000, turunkan berat badan 15 kilogram atau khatam al-Quran dalam masa setahun.
Namun, mari kita jujur. Setelah beberapa bulan berlalu, berapa banyak daripada azam itu yang masih ‘bernyawa,’ dan berapa banyak pula yang sudah selamat dikebumikan tanpa nisan?
Jika anda rasa bersalah, anda berada dalam kelompok majoriti. Kajian global oleh Strava menunjukkan kebanyakan azam tahun baharu gagal seawal minggu kedua Januari.
Malah, data daripada U.S. News & World Report mendedahkan hampir 80 peratus azam gagal menjelang Februari. Adakah kita ditakdirkan untuk gagal? Atau kita sebenarnya hanya perlukan satu checkpoint baharu untuk bangkit semula?
Muharram: Checkpoint alami di tengah tahun
Di tengah-tengah keghairahan tahun Masihi yang mungkin mula hambar, muncul satu peluang keemasan iaitu Tahun Baharu Muharam.
Untuk tahun ini, 1 Muharam 1448H dijangka jatuh pada pertengahan tahun. Tarikh ini hadir tepat pada masanya sebagai penanda aras separuh tahun.
Ia seolah-olah satu isyarat langit untuk kita berhenti sejenak, menarik nafas panjang dan menilai semula haluan hidup sebelum melangkah ke baki enam bulan terakhir.
Semangat Muharam bukan sekadar tentang cuti umum. Ia membawa simbolik Hijrah, peristiwa perpindahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah.
Dalam konteks pembangunan diri moden, hijrah adalah definisi sebenar kepada sebuah ‘Life Reset’ atau penetapan semula kehidupan.
"Hijrah yang paling besar bukan tentang sejauh mana anda berpindah koordinat geografi, tetapi tentang seberapa kuat tekad anda untuk meninggalkan tabiat lama yang merosakkan diri demi masa depan yang lebih bermakna."
Kenapa azam Muharam lebih menjadi?
Ada sebab saintifik mengapa azam Muharam selalunya lebih realistik berbanding Januari. Pada awal tahun, kita sering dipengaruhi oleh "euforia" dan sekadar mengikut trend.
Namun, menjelang pertengahan tahun, anda sudah mempunyai aset berharga iaitu "Data Prestasi." Anda sudah melalui pengalaman sebenar selama hampir enam bulan pertama tahun 2026.
Anda kini lebih sedar tentang Kenapa diet gagal? Mungkin sasaran turun lima kilogram seminggu itu tidak masuk akal.
Kenapa simpanan tidak bertambah? Mungkin akibat nafsu online shopping yang tidak terkawal atau bajet yang tidak realistik dan Kenapa ibadah tidak konsisten? Mungkin kerana mahu berubah secara drastik dalam sekelip mata.
Pengalaman pahit separuh tahun pertama inilah yang menjadikan azam Muharam anda lebih “memijak di bumi nyata”.
Jom audit diri!
Sebelum kalendar beralih ke 1 Muharram nanti, ambil masa satu minit. Letakkan telefon di tepi dan jawab soalan ini dengan penuh kejujuran dalam hati;
Apa satu perkara yang paling kerap menggagalkan azam anda? Adakah malas, ketiadaan pelan yang jelas atau sekadar ikut-ikutan? Jika diberi peluang bermula semula, apa satu tindakan paling kecil yang mampu anda lakukan secara konsisten setiap pagi?
Penyakit azam ‘besar tapi kabur’
Ramai antara kita gagal bukan disebabkan lemah semangat, tetapi kerana azam yang terlalu "awan-awanan" atau umum.
Sebagai contoh, hasrat "nak kurus" adalah matlamat yang sangat kabur kerana otak tidak dapat memproses tindakan spesifik yang perlu diambil.
Sebaliknya, azam akan lebih praktikal jika diubah kepada tindakan jelas seperti: "Saya mahu berjalan kaki selama 30 minit selepas pulang bekerja, tiga kali seminggu."
Dengan cara ini, sasaran kita bukan lagi sekadar angan-angan, tetapi pelan harian yang nyata dan mudah diukur.
Ingat, perubahan besar tidak berlaku dalam semalam. Ia adalah himpunan ribuan tindakan kecil yang dilakukan berulang-ulang.
Jika azam Januari hancur, jangan meratapinya. Gunakan semangat hijrah untuk reset semula dengan langkah yang lebih kecil.
Kos tersembunyi sebuah kegagalan
Jangan ambil mudah kegagalan untuk berubah. Membiarkan diri dalam tabiat buruk membawa kos yang tinggi.
Dari sudut kesihatan, kegagalan menjaga pemakanan menyumbang kepada peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes.
Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), gaya hidup tidak sihat adalah pembunuh senyap yang boleh dicegah.
Dari sudut emosi pula, kegagalan berulang akan menghakis keyakinan diri (self-esteem). Kita akan mula percaya pada suara negatif bahawa "aku memang tak boleh berubah".
Inilah sebabnya kita perlukan checkpoint Muharram untuk memecahkan kitaran rasa bersalah ini.
Strategi hijrah kecil (micro-habits)
Agar azam Muharam ini lebih ‘melekat’, gunakan formula ringkas iaitu kecilkan target iaitu jangan terus mahu lari maraton jika berjalan kaki pun jarang. Mula dengan 1,000 langkah sehari atau sekadar senaman ringan 10 minit.
Selain itu Jelaskan Tindakan iaitu jangan sekadar kata "nak simpan duit". Kata dengan tegas, "Saya nak asingkan RM5 ke dalam tabung setiap kali selepas Subuh".
Seterusnya, konsisten (istiqamah) iaitu biar buat sedikit, asalkan jangan berhenti. Rahsianya bukan pada kekuatan, tetapi pada kekerapan. Dalam Islam, amalan yang paling dicintai Allah SWT adalah amalan yang sedikit tetapi berterusan.
Kesimpulan: Reset, bukan regret
Tahun Baharu Muharam adalah isyarat bahawa pintu peluang sentiasa terbuka tanpa perlu menunggu 1 Januari untuk berubah.
Masa yang sempurna tidak akan pernah wujud; apa yang kita miliki hanyalah waktu sekarang.
Oleh itu, gunakan momentum 16 Jun ini untuk berhenti menyesali kegagalan lalu (regret) dan mulakan langkah berani untuk menetapkan semula (reset) kehidupan anda dengan tindakan nyata, bukan sekadar angan-angan di atas kertas. Selamat menyambut Maal Hijrah! Mari kita reset hidup dengan tindakan.
--BERNAMA
Dr Raudah Mohd Adnan ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) raudah@uthm.edu.my
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah